Emas, Wang Simpanan Musnah Terbakar, Marjan Tetap Syukur Keluarga Selamat

MARAK ...Api marak membakar rumah penduduk Kg Tanjung Aru Baru.

Oleh HASSIM HJ OTHMAN

KOTA KINABALU: Tidak dapat menyelamatkan barang, keluar dengan sehelai sepinggang dan hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen namun Marjan Gusman tetap bersyukur kerana dia, isteri, empat anak serta 12 orang ahli keluarga yang lain selamat bilamana rumah yang mereka duduki turut terbakar pagi tadi.

“Isteri saya hampir pengsan sementara empat orang anak saya pada mulanya tidak saya temui di mana.

RANAP … Marjan Gusman tetap bersyukur kerana dia, isteri, empat anak serta 12 orang ahli keluarga yang lain selamat daripada rumah mereka yang turut terbakar pagi tadi.

“Sebelum marak, saya juga sempat menyimbah air ke arah api yang mula membakar dinding rumah, namun gagal kerana api sudah mula marak dan bertindak terus keluar rumah.

Menurut Marjan, dia hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting. Semua wang simpanan dan emas isterinya gagal diselamatkan.

ALAS PERUT … Kalun dan keluarganya sempat mengalas perut di tepi tiga tong gas yang berjaya di selamatkan.

“Namun saya bersyukur kami semua selamat,” jelasnya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Marjan yang berasal dari Filipina dan bekerja sendiri sebagai seorang tukang telah tinggal kira-kira dua tahun di rumah sewa berkenaan bersama keluarganya.

Dalam kejadian kebakaran yang bermula sekitar jam 4.22 pagi tadi, sebanyak 23 rumah di perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru Baru (Cable) musnah dalam kebakaran berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Juldin Jun, 18, berkata, mereka sekeluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi letupan dan jeritan di luar rumah.

“Api sudah merebak hampir ke rumah saya ketika itu, dan lebih menakutkan apabila dua kereta yang berada beberapa meter dari rumah juga meletup dan terbakar.

“Kami hanya fikir untuk menyelamatkan diri sahaja. Walaupun sedih, tetapi saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.

TETAP SYUKUR … Nortisha Abdullah bersama keluarganya antara mangsa kebakaran pagi tadi.

Dalam pada itu, jeritan penduduk telah menyelamatkan sebuah keluarga yang terjaga daripada tidur mereka apabila bekalan elektrik terputus.

“Dalam suasana gelap itu, kami terdengar suasana riuh rendah di luar dan jeritan penduduk memberitahu rumah terbakar.

PASRAH … Juldin Jun melihat rumahnya yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru awal pagi tadi.

Kalun Tanakalun, berkata dalam suasana panik itu mereka sekeluarga hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dengan selamat.

“Tiada harta benda yang sempat kami selamatkan, melainkan 3 tong gas yang berjaya dikeluarkan daripada rumah berkenaan oleh beberapa ahli keluarga.

Menurut isteri Kalun, sebuah beg besar yang ingin diangkatnya pun terpaksa ditinggalkan melihat keadaan kebakaran yang sudah membakar sebahagian rumahnya.

MUSIBAH …Sebahagian lagi mangsa bersama barang-barang yang sempat diselamatkan dari terbakar.

Mereka sekeluarga sudah tinggal lebih 16 tahun di rumah sewa yang terbakar itu tetap bersyukur kerana semua keluarganya selamat dalam kejadian kebakaran itu.

Kebakaran yang berlaku di kampung itu adalah kebakaran kali kedua pada tahun ini selang kira-kira tiga minggu kebakaran pertama berlaku dan turut memusnahkan kira-kira 10 buah rumah.

scroll to top