Empat Ditangkap, 12 Individu Ditahan Dalam Op Samseng Jalanan

TAHAN... Pihak polis menahan kenderaan yang lalu di Jalan Ulu Sibuga.

Oleh YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Polis telah menahan 12 individu, 14 kompaun dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Ulu Sibuga, petang kelmarin.

ACP MOHD AZHAR HAMIN

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata dua pegawai dan 20 anggota polis dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah mengadakan Op Samseng Jalanan bermula jam 4 petang hingga 6.30 petang.

“Sebanyak dua kenderaan ditahan bersama dua pemandu dan dua orang penumpang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

“Manakala, lapan buah kenderaan ditahan bersama lapan pemandu dan empat penumpang di siasat di bawah Seksyen 81 (3) APJ 1987 ekoran mengambil bahagian dalam apa-apa pertandingan atau ujian kelajuan,” katanya.

Mohd Azhar berkata sebanyak 14 saman trafik di atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh pihaknya.

“Pihaknya juga turut mengeluarkan 16 kompaun kepada semua tangkapan di bawah kesalahan-kesalahan lain mengikut peruntukan dalam Prosuder Operasi Standart (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana keluar tanpa alasan yang munasabah dalam tempoh Fasa Pemulihan Kedua di di bawah Peraturan 17 (1) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Beliau berkata semua pemandu dan penonton berumur 19 hingga 40 tahun bersama kenderaan dibawa ke IPD Sandakan untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.

“Dalam operasi ini juga, M-COPS digunakan untuk pemeriksaan Sistem PDRM (Saman) dan Sistem JPJ (lesen memandu/cukai jalan/pemilik kenderaan) serta semakan waran tangkap,” katanya.

Mohd Azhar berkata usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah dan membanteras kegiatan samseng jalanan dan memastikan pengguna jalan raya tidak menjadi mangsa kepada aktiviti samseng jalanan ini.

“Masyarakat terutama golongan muda digesa untuk menghindari sebarang aktiviti lumba haram dan juga aktiviti menguji kelajuan,” tegasnya.

Beliau menasihati semua pemandu dan penunggang motosikal secara berhemah dan mematuhi setiap peraturan lalulintas.

“Jangan membahayakan diri sendiri dan orang lain. Bersama lah berusaha menjadikan jalanraya supaya selamat digunakan. Dan berusaha juga untuk jaga diri supaya terhindar daripada virus Covid-19,” katanya.

Sementara itu dalam Op Samseng Jalanan berasingan, Mohd Azhar berkata pihaknya telah berjaya berkas seorang lelaki 34 tahun di Bandar IJM jam 9.45 malam.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh BSPT IPD Sandakan dilakukan terhadap motosikal ditunggangi mendapati nombor enjin adalah tidak sepadan dengan nombor tersebut,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan dalam sistem telah mendapati nombor enjin yang digunakan oleh motosikal tersebut adalah sebuah motosikal lain yang dilaporkan hilang pada tahun 2018.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 457 / 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

scroll to top