Oleh MARIAYATI MURSIDI
SANDAKAN: Empat lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan kerana membawa barang kawalan tanpa permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Pulau Bai dekat sini, awal pagi hari ini.
Pegawai Pemerintah PPM Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, semasa Polis Marin menjalankan tugas risikan telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke laut lepas.
Beliau berkata, bot terbabit telah ditahan yang dijuragani oleh seorang lelaki dan tiga awak-awak berumur antara 30 hingga 50 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas jongkong, mendapati barang kawalan dalam milikan juragan seperti beberapa kotak minyak masak dan mi kering. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM46,348.40 termasuk nilai enjin dan jongkong yang dirampas,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas juragan didapati memiliki dadah disyaki jenis syabu dan saringan air kencing adalah positif.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kepada masyarakat daerah ini untuk menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.