Empat Lelaki Ditahan Cuba Seludup Barang Kawalan

BARANG KAWALAN: Empat suspek yang ditahan bersama muatan barang kawalan yang dirampas PPM Sandakan.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SANDAKAN: Empat lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Pulau Nunuyan awal pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan dan semasa pemeriksaan dijalankan di perairan Pulau Nunuyan mendapati terdapat dua bot jenis jongkong masing-masing dijuragani seorang lelaki dan seorang awak-awak berumur lingkungan 20 hingga 28 tahun berada di bot masing-masing.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas jongkong-jongkong terbabit mendapati terdapat barang kawalan. Jongkong dan enjin turut dirampas. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM63,258.

“Juragan terbabit juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan kepada komuniti maritim dan pesisir pantai agar menyalurkan sebarang maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” katanya.

scroll to top