Empat Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan Yayasan Nur Jauhar

SUMBANGAN…Toh Puan Norlidah (kiri) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Albert sambil diperhatikan oleh Abinan (dua dari kiri).

PAPAR : Empat keluarga mangsa kebakaran di Kg Lakut Jalan Kota Kinabalu – Papar Lama, menzahirkan rasa terharu apabila diziarahi isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Selain memberi kata semangat, Toh Puan Norlidah yang juga Penasihat Yayasan Nur Jauhar (YNJ) turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada ketua isi rumah yang ditimpa musibah tersebut.

Para penerima terdiri daripada warga emas, Albert Jaikul, 68, serta tiga lagi anaknya, Andy Albert Jaikul, 45, Nur Sharmilah Albert Jaikul Abdullah, 42, dan Nabilah Albert Abdullah, 40, bersama keluarga masing-masing tinggal di kediaman sama.

Mewakili ahli keluarganya, Andy mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diterima dan akan menafaatkan sumbangan berkenaan dengan sebaik mungkin termasuk untuk keperluan anak-anak yang telah mula bersekolah.

“Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan kami sekeluarga dan ia sangat membantu terutama untuk menyara keperluan anak-anak yang sudah mula bersekolah.

“Bagi pihak keluarga sekali lagi saya mengucapkan terima kasih banyak kepada Toh Puan dan Yayasan Nur Jauhar,” ujarnya.

Ketika menceritakan detik cemas yang berlaku pada 12 Oktober tahun lepas, Andy mendedahkan dia hanya sempat menyelamatkan sebuah kenderaan dan seluruh ahli keluarganya.

“Cuaca pada malam itu agak buruk dengan hujan lebat, petir, kilat dan tiupan angin yang kencang.

“Kejadian ini mula disedari oleh bapa saya yang bangun kerana mahu ke tandas tetapi sempat melihat api mula marak di bahagian dapur akibat panahan petir.

Nur Shamirah bersama bayinya menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar yang disampaikan oleh Toh Puan Norlidah (kiri).

“Kemudian, kami semua bangkit dan menyelamatkan seluruh ahli keluarga dengan keluar sehelai sepinggang namun ketika itu hanya satu kunci kereta sempat saya capai dan terus mengalihkan kereta itu.

“Tiupan angin kencang telah membuatkan api semakin marak dan merebak dengan sangat pantas tidak sampai setengah jam, seluruh bahagian rumah kami musnah,” jelasnya.

Walaupun sedih dengan insiden malang itu, Andy tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan banyak pihak yang prihatin tampil memberi sumbangan.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kepada Tuang Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Datuk Abinan Asli
berkata yayasan berkenaan akan bergerak lebih agresif untuk mendampingi serta mendekati rakyat yang ditimpa musibah.-Penerangan.

scroll to top