Empat PTI Cuba Masuk Tawau Diusir

PTI: Empat penumpang warga asing yang menaiki bot dijuragani warga tempatan, diusir oleh PPM keluar dari kawasan perairan Pulau Sebatik.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menghalang cubaan sebuah bot dari negara jiran yang membawa empat pendatang tanpa izin (PTI) dari masuk ke Tawau di kawasan laut Tanjung Saima, Pulau Sebatik, di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau DSP Ridzauddin Selamat mengesahkan pasukan berjaya menahan sebuah bot dijuragani oleh seorang lelaki tempatan yang membawa empat orang penumpang berumur antara 40 hingga 54 tahun terdiri tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.

Katanya, kesemua penumpang adalah bukan warganegara.

“Juragan bot dan kesemua penumpang diberi penerangan berkaitan pematuhan SOP COVID-19 sepertimana yang ditetapkan dalam perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, bot yang membawa empat penumpang kemudian diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19.

Justeru katanya, PPM Tawau terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya daerah ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

Katanya, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197.

“Orang ramai juga boleh berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

scroll to top