ESSCOM perkukuhkan kesiapsiagaan

SIDANG MEDIA: Hamzah ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat ESSCOM, di sini semalam.

LAHAD DATU: Pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan memperkukuhkan kesiapsiagaan susulan pembukaan sempadan negara, 1 April depan.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tahap kesiapsiagaan itu diperlukan sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang.

“Kita sedia maklum bahawa kawasan pantai timur Sabah ini terutamanya Semporna, Sandakan dan daerah sekitar sering menjadi tumpuan pelancong.

“Oleh itu, ESSCOM sentiasa akan bersiap sedia bagi mengambil sebarang tindakan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat ESSCOM, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung tindakan yang mungkin akan diambil ESSCOM susulan krisis Malaysia dan Filipina berhubung tuntutan ke atas Sabah, Hamzah berkata, ESSCOM akan meneruskan tugas seperti biasa.

Katanya, perkara berhubung tuntutan ini masih dalam siasatan ESSCOM dan pihak-pihak berkaitan.

“Setakat ini, kawasan Pantai Timur Sabah masih berada dalam keadaan yang baik dan terkawal.

“Penugasan aset diteruskan dan ESSCOM akan melipat gandakan usaha serta aktiviti keselamatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan ini selamat untuk semua,” katanya.

Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan setiap aktiviti haram di kawasan ESSZONE seperti kegiatan Wali Tujuh tidak akan diambil mudah oleh ESSCOM.

Katanya, ESSCOM tidak akan membiarkan perkara seumpama ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap aktiviti haram di ESSZONE.

scroll to top