EXIM DAVETSA 2.0 percepat proses permohonan permit import, eksport

Jeffrey ketika berucap pada majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Portal yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah, EXIM DAVETSA 2.0 berupaya mempercepatkan proses permohonan permit import dan eksport.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, modul dari platform DAVETSA yang telah dinaik taraf itu khusus bagi permohonan lesen import dan eksport untuk para pemegang taruh Jabatan Veterinar Sabah mendapatkan permit mereka.

“Sabah sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan penyakit haiwan.

“Justeru, kawalan import dan eksport melalui perlesenan ini merupakan salah satu kawalan bagi mencegah masuknya penyakit berjangkit berasaskan haiwan ke Sabah.

“Malah, mengurus sesuatu wabak penyakit tidak semudah yang difikirkan kerana ianya melibatkan banyak prosedur, tenaga, serta kewangan.

“Oleh itu, kawalan import dan eksport¬† adalah penting untuk memastikan Sabah kekal bebas daripada sebarang penyakit haiwan berjangkit dengan penguatkuasaan berterusan oleh pihak DVS Sabah di pintu-pintu masuk sempadan dan premis-premis perniagaan,” katanya ketika melancarkan EXIM DAVETSA 2.0 di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan mendedahkan pihaknya sentiasa memastikan keselamatan makanan dan kecukupan pengeluaran makanan bagi negeri ini terjamin.

“Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah akan memastikan kecukupan pengeluaran makanan yang meliputi sub-sektor tanaman, penternakan dan perikanan adalah terjamin.

“Melalui inisiatif Sabah Maju Jaya, kecukupan makanan perlu dipertingkatkan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik, malah untuk eksport bagi menjamin sektor ini berdaya saing serta mampu mengurangkan bil import makanan berasaskan pertanian dan hasil pertanian negeri,” ujar beliau.

Menurut Jeffrey, berdasarkan rekod tahun 2021, Sabah telah mengeksport sebanyak 27 juta biji telur ayam ke Wilayah Persekutuan Labuan dan Hong Kong, 2,142 ekor lembu dan 177 ekor kerbau ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam.

Tambahnya, potensi eksport ke pasaran Kalimantan pada masa akan datang juga terbuka luas berikutan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr. Mariana Tinggal dan Pengarah DVS Sabah, Dr. Hajah Normah Yusop.-Penerangan.

scroll to top