Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Bahasa Melayu perlu terus berkembang sebagai bahasa yang berwibawa dalam menyampaikan isi pemikiran dan mencerminkan intelektual bangsa.

Prof Madya Dr. Mohd Rashid Md Idris
Sehubungan itu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu kali ke-7 2021 (PABMVII 2021).
Pengerusi Persidangan, Prof Madya Dr. Mohd Rashid Md Idris berkata sebagai bahasa yang mempunyai keindahan yang diiktiraf sejarah, usaha memastikan kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa yang berperadaban tinggi perlu diteruskan.
Persidangan yang akan dirasmikan Duta Malaysia di Turki itu, diadakan dengan kerjasama Universiti Ibnu Haldun, Istanbul, Turki, katanya dalam siaran meda.
“Sesuatu bahasa akan menjadi lebih unggul apabila dikaitkan dengan peradaban besar melalui kerjasama dengan negara-negara lain di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau penyertaan persidangan terbuka kepada pensyarah universiti awam dan institut pendidikan guru serta pelajar pascasiswazah di seluruh negara.
Beliau berkata persidangan kali ini mengetengahkan tema ‘Pengajian Melayu Masyarakat Supradiversiti’ manakala subtemanya Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Serumpun, Pendidikan, Seni dan Budaya, Perbandingan Bahasa, dan Ketamadunan.
Menurut beliau semua pembentangan akan dijalankan secara hibrid (dalam talian) manakala perasmian hanya membabitkan kehadiran sebilangan kecil dari tetamu pengurusan tertinggi universiti serta Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
“Kertas kerja yang diterima akan diterbitkan dalam e-prosiding dan urus setia juga akan usahakan penerbitan untuk .e-prosiding scopus dan artikel scorpus walaupun ditentukan oleh pihak konsultan yang dipilih oleh pihak JBKM dan editorial jurnal berkenaan,” katanya.
Tarikh akhir penerimaan abstrak 17 Julai 2021, tarikh pengesahan abstrak 20 Julai 2021, manakala tarikh akhir penerimaan kertas kerja 10 Ogos 2021.
Maklumat lanjut persidangan boleh menghubungi Urus Setia Persidangan di talian 019-6329577 (Dr. Nur Farahkhanna) atau 019-6323903 (Dr Zuraini) atau melalui emel pabmvii2021@gmail.com.