Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah 2022, 3-5 Mac

JASNI MATLANI

KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan menganjurkan Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah 2022, pada 3-5 Mac ini.

Presiden BAHASA, Datuk Jasni Matlani berkata, program Festival yang dijenamakan semula daripada Festival Penulis Sabah yang diadakan sejak tahun 2012 itu turut mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, dan walaupun kita masih berhadapan dengan masalah penularan virus pendemik Covid-19, tetapi program festival yang dirancang sejak tahun lalu itu, tetap diteruskan dengan semua program yang diadakan mengambil kira pematuhan SOP yang disediakan oleh pihak kerajaan,”kata Jasni.

Menurut beliau lagi, pelbagai program disediakan sempena festival kali ini, antaranya forum berkaitan perkembangan penulis dan masa depan sastera di Malaysia, forum peranan Gapena dalam konteks perkembangan sastera kebangsaan, forum puisi esei, forum menterjemah profesion dalam karya dan forum kesenian berkaitan seni tampak kontemporari di Sabah.

“Antara tokoh yang terlibat dalam forum itu ialah Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul, Dr. Mohammad Saleeh Rahamad, Dr. Rahmah Abdul Ghani, Dr. Jack Naim, Dr. Fahd Razy, Lutfi Ishak, S M Zakir, Dr. Zaimie Sahibil, Naomi Kato dari Jepun, Hellen Dutch dari Netherlands,Datuk Zainal Abidin Borhan, Datuk Jasni Matlani, Fadzil Idris, Nim Yorza, Mohammed Nor Yusof, Norazimah Abu Bakar, Amiruddin Ali Hanapiah, Abdul Razak Adam dan Siti Aisyah Mad Saad.

Jasni yang juga penerima Anugerah SEA Write 2015 berkata, program lain yang diadakan sempena festival itu ialah “Malam baca puisi SILA” oleh beberapa penyair Malaysia, seterusnya persembahan tarian kontemporari Indonesia, “Dongeng Anak Ladang” oleh pelajar sekolah Indonesia di Kota Kinabalu, yang dikoreografikan oleh Dwi Kristianto, persembahan monolog oleh Mat Conggo dan juga Sanuddin Hassan.

“Manakala acara kemuncak festival ini ialah “Malam Gala SILA”, yang dijangka menampilkan penyanyi terkenal Datuk Ramli Sarip, penyanyi tempatan yang sedang meningkat naik namanya, Dayang Noraini, Mohd Rezuwan Batjo dari Kupi Kuli FM dan acara baca puisi oleh Juri Durabi, Hasyuda Abadi dan Mohd Fauzi Jamika. Turut diadakan ialah majlis pelancaran buku antologi puisi “Keluarga Malaysia ” terbitan Bahasa yang dijangka bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor, pada malam Gala itu, ” kata Jasni.

Menurut Jasni lagi, turut diadakan semasa majlis malam Gala itu ialah majlis penyampaian Hadiah Puisi Esai Denny JA, penyampaian Hadiah cerpen/Puisi BAHASA-HARIAN EKSPRES, penyampaian Anugerah Buku BAHASA-IRIS PUBLISHING dan penyampaian anugerah BAHASA Sepanjang Zaman.

“Terdahulu, pada hari pertama festival itu diadakan juga, Bengkel Terbit Karya, yang dibimbing oleh S M Zakir dan Datuk Jasni Matlani.”

“Manakala beberapa program turut diadakan lebih awal seperti Pertandingan Melukis Sekolah Rendah, Pertandingan deklamasi puisi dan lagu puisi sekolah menengah sekitar Kota Kinabalu, di mana majlis penyampaian hadiah semua pertandingan itu disampaikan semasa majlis pelacaran pembukaan festival pada 4 Mac dan dijangka disempurnakan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah, Datuk Haji Mohd. Arifin Hj Mohd Arif,” katanya.

scroll to top