Fikir secara matang sebelum memangkah – Awang Husaini

SEMANGAT ..Awang Husaini semasa berucap di Rumah Pangsa Tanjung Aru pada Majlis Ramah Mesra Bersama Calon Harapan Parlimen Putatan.

KOTA KINABALU: Para pengundi di Parlimen Putatan diminta tidak salah pangkah dan berfikir secara matang sebelum memangkah calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada kali ini.

Calon Harapan Parlimen Putatan, Awang Husaini Datuk Haji Awang Sahari berkata, pilihan raya yang berlangsung pada 19 November 2022 ini, merupakan pilihan raya besar dan sangat penting untuk pembentukan sebuah kerajaan dan melantik seorang Perdana Menteri untuk mentadbir negara Malaysia ini.

MESRA ..Masyarakat Rumah Pangsa Tanjung Aru mengambil kesempatan beramah mesra dengan Awang Husaini.

“Sebelum memangkah, lihatlah semula situasi negara ketika ini, yang bagai kelihatan harmoni, namun terbeban dengan hutang kerajaan yang berbelion-belion ringgit.

“Pelabur takut datang melabur, peluang pekerjaan sedikit, nilai matawang semakin jatuh, harga barang makin melambung naik yang akhirnya membebankan seluruh rakyat di negara ini.

“Ekonomi negara Indonesia, Thailand apalagi Singapura dan Brunei Darussalam sudah jauh meninggalkan kita. Ekonomi negara kita begitu terlalu tenat. Mata wang Ringgit Malaysia (RM) semakin jatuh.

Katanya, ini kerana apa?, Ini kerana tadbir urus kerajaan sebelum ini ada yang ‘tidak ngam’ .. ada yang tidak kena.

“Apakah kita akan terus membiarkan keadaan ini berterusan?,” tegasnya.

“Jika tidak, maka tolaklah pemimpin-pemimpin yang ‘corruption’, tolak pemimpin-pemimpin yang salahgunakan kuasa,” katanya.

Katanya, negara Malaysia harus diselamatkan. Pemimpin-pemimpin rasuah, salah guna kuasa dan terpalit dengan kes-kes mahkamah perlu diketepikan.

ALBUM …Awang Husaini bersama penduduk Pulau Gaya.

“Kerajaan lama perlu ditolak, sebaliknya memberikan mandat kepada Pakatan Harapan yang akan membawa kepada pembentukan kerajaan Baharu Malaysia yang bersih dan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya.

Awang Husaini berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Calon Harapan Parlimen Putatan, di gelanggang bola keranjang Rumah Pangsa Tanjung Aru, pada Rabu malam.

Turut hadir di majlis itu ialah mantan Ketua Bahagian STAR N.23 Petagas yang juga mantan Ketua Penerangan STAR Parlimen Putatan, Sidnan Musi, Ira Elza Uzair, Exco Wanita Pusat PKR Siti Norfinniey Yassin.

Sebelum itu, pada hari yang sama, Awang Husaini telah menemui masyarakat di Pulau Gaya dan menghadiri Program Santai bersama penduduk yang diadakan di rumah Ketua Ranting Harapan Pulau Gaya, Rani Susulan.

scroll to top