Fokus Tingkat Tanaman Dan Produk Makanan Tempatan – Amisah

AMISAH

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Amisah Yassin berkata hasil tanaman dan produk tempatan perlu dipertingkatkan bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan khasnya bagi memastikan masyarakat mendapat makanan yang bermutu dan berkualiti.

“Semasa pandemik, kita banyak bergantung kepada makanan luar yang dieksport, yang sudah diproses dan jika hasil tanaman segar tempatan tidak diberi perhatian untuk dipasarkankan secara meluas, pastinya ini sedikit sebanyak akan memberi impak kepada kualiti kesihatan penduduk kita kelak.

“Tiba masanya untuk kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mengorak langkah untuk memajukan pertanian selaras dengan halatuju Sabah Maju Jaya bagi menghasilkan makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport makanan,” katanya.

Amisah berkata demikian semasa berucap dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16, di sini, hari ini.

Menurutnya, tanah-tanah ladang berhampiran jalan raya dan bandar-bandar kecil perlu diperuntukkan untuk tanaman makanan bagi memudahkan urusan mengangkut makanan dan perihal pengangkutan, sekaligus mengurangkan kos pembaziran selepas musim hasil tanaman dituai.

Dalam pada itu, Amisah turut memberitahu bahawa keutamaan dan usaha untuk menggerakkan ekonomi melalui pertanian juga perlu difokuskan kerana cabang kemahiran itu mampu memberikan hasil pendapatan yang lumayan.

“Jika tanaman bunga keladi dan memelihara ikan laga menjadi hobi dan kegilaan khasnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat daripada pandemik COVID-19, maka kerajaan perlu mengambil peluang untuk mempromosikan tanaman makanan dan ternakan haiwan yang boleh dijadikan makanan yang mana boleh dilaksanakan secara kecil-kecilan oleh semua rakyat, dengan kaedah pertanian dan penternakan moden.

“Kaedah moden boleh diperkenalkan dan ini akan membantu petani luar bandar khususnya belia dan wanita, misalnya kaedah fertigasi, kaedah hidroponik dan juga akuaponik.

“Pastinya hasil yang dijana akan mampu dipasarkan dan ekonomi sara diri akan menjadi antara sumber rakyat menjana pendapatan, tidak kiralah sebagai pendapatan utama ataupun pendapatan sampingan,” katanya.

scroll to top