FPT UMS – MySAF kongsi Pengajian Sains Perhutanan kepada pelajar SMK Tebobon 

ALBUM: Affendy (duduk kiri), Faridah (dua kiri) dan Tamin (tepi kanan) merakam gambar bersama pada program itu.

KOTA KINABALU: Seramai 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon mengikuti perkongsian berkaitan peluang-peluang pengajian yang ditawarkan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perkongsian itu disampaikan Ketua Program Perladangan Hutan dan Perhutani FPT Dr. Affendy Hassan di sekolah itu di sini, kelmarin.

Katanya, sebanyak lima program ditawarkan di FPT iaitu program Hutan Tropika Antarabangsa Taman Alam Semulajadi dan Rekreasi, Teknologi dan Industri Kayu, Perladangan Hutan dan Perhutani, dan program Biologi Pemuliharaan.

“Untuk memasuki program-program ini, ia terbuka kepada para pelajar aliran sains serta memenuhi syarat minimum yang ditetapkan,” katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Pengetua SMK Tebobon Faridah Raimin, Ketua bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tamin Ongki, guru-guru penasihat Kelab Alam Sekitar dan guru-guru subjek.

Sementara itu, Affendy ketika dihubungi memaklumkan penganjuran perkongsian itu bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap mata pelajaran sains dalam kalangan pelajar yang kini menyaksikan penurunan.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab pihak universiti khususnya di FPT untuk turun padang ke sekolah-sekolah dan memberi penerangan yang jelas tentang program pengajian perhutanan.

“Program seumpama ini dibuat sejak sebelum pandemik COVID-19 melanda. Dan pada ketika pandemik kita tetap meneruskan perkongsian ini secara dalam talian.

“Syukur pada ketika ini, perkongsian dapat dijalankan kembali secara bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa. Para pelajar juga boleh berinteraksi atau terus bertanya soalan kepada penceramah sekiranya inginkan maklumat yang lebih terperinci,” jelasnya.

HADIR: Antara pelajar dan guru-guru yang hadir dalam sesi perkongsian.

Dalam pada itu, Affendy yang juga pengasas dan Presiden Persatuan Agroperhutanan Malaysia (MySAF) turut menyeru agar para pelajar merebut peluang terhadap kekayaan sumber hutan di negeri ini.

“Tidak dinafikan, negeri Sabah kaya dengan sumber hutan dan ini memberi potensi untuk mencipta banyak peluang pekerjaan kepada bakal graduan dan secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara.

“Justeru, peluang melanjutkan pengajian dalam bidang perhutanan ini harus dimanfaatkan pelajar kerana terbukti bahawa graduan perhutanan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan sentiasa mendapat tawaran bekerja selepas tamat pengajian,” katanya.

scroll to top