KOTA MARUDU: Hasrat untuk membangunkan Galeri Makam Pahlawan Marudu, Syarif Osman bakal direalisasikan tidak lama lagi hasil muafakat dan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan NGO, kata Pengerusi Badan Dakwah Daerah Kota Marudu, Nahalan Haji Mehdunah.
Beliau yang juga Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu berkata pihaknya sudah merancang untuk membina galeri makam pahlawan Syarif Osman sejak lama tetapi dengan adanya permufakatan di kalangan jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta NGO, impian itu bakal jadi kenyataan.
Katanya, Syarif Osman atau dikenali Tuanku Syarif Osman Ibni Sultan As Syariff Ali Abdul Jalil Syaifuddin BA Alwi ,
Raja Marudu ke-2 adalah salah seorang pahlawan dan tokoh sejarah yang penting di negeri ini pada era kolonialisme.
Beliau berkata demikian semasa menziarahi makam pahlawan itu sempena sambutan perayaan Bulan Kemerdekaan 2022.
Program bermula dengan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran makam, penghayatan sejarah kepahlawanan terbilang Syariff Osman, mengibarkan bendera Malaysia dan Negeri Sabah, penyerahan Bendera Sultan Marudu 1, As Syariff Muhamad Samalam Iskandar Qudratullah Untung Paharuddin, menggantikan batu nisan nama pahlawan berkenaan sehinggalah acara menanda tangani memorandum cadangan menubuhkan galeri yang akan diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas lanjut sejarah kepahlawanan Syarif Osman, Nahalan memberitahu beliau memperolehi cerita tentang kepahlawanan Syarif Osman berdasarkan sumber maklumat keluarga, catatan penjajah British, sumber lapangan hasil kajian sendiri dari sumber sejarah Borneo dan sejarah di Sabah (Marudu) sebagai perbandingan dan tambahan kepada kajian Prof. Bianca berkaitan kerajaan Marudu pada tahun 1845.

MOGA DIBERKATI…Nahalan bersama yang lain mengaminkan bacaan doa selamat selepas menggantikan batu nisan almarhum Tuanku Syariff Osman.
Antara objektif penubuhan Galeri Pahlawan Marudu,Syariff Osman ialah memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan mengenang jasa pengorbanan mereka semasa melawan penjajah.
Moga usaha murni ini dipermudahkan dan berjaya direalisasikan bagi membolehkan generasi akan datang mengenang jasa dan pengorbanan Tokoh Pahlawan Negeri Sabah.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Perlaksana program Haji Bidin Piok, ketua dan wakil jabatan kerajaan yang terbabit, serta pemimpin komuniti setempat.