Gelanggang Takraw, Bola Tampar Kg Lapasan Dinaik Taraf

TAKRAW: Stephen (kedua kiri) dan Jordan (kiri) di tapak gelanggang Kg Lapasan.

Oleh HENRY BATING

TELIPOK: Gelanggang sepak takraw dan bola tampar Kg Lapasan bakal dinaik taraf melalui inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperbaiki pelbagai kemudahan sukan komuniti setempat.

Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Bahagian Karambunai Kapitan Stephen Teo berkata langkah KBS tepat ekoran banyak kemudahan terbiar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula awal tahun lalu.

“Kemudahan sukan yang selesa amat diperlukan untuk kegunaan penduduk setempat apabila situasi kembali normal beberapa bulan dari sekarang,” katanya.

Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak naik taraf gelanggang takraw dan bola tampar di Kg Lapasan pada Selasa.

Hadir sama Naib Ketua Wiramuda STAR Jordan Jude Ellron dan beberapa petugas urus setia sukan KBS.

Menurut Stephen, pihaknya telah menerima lampu hijau dari KBS tentang pelaksanaan projek tersebut dan berharap dapat membantu kementerian melaksanakan kemudahan itu secepatnya.

scroll to top