GIATMARA komited jayakan hasrat perkasa TVET

TAHNIAH…Jabar Azman menyampaikan sijil kepada salah seorang pelatih cemerlang sempena Majlis Graduasi GIATMARA.

KOTA KINABALU: GIATMARA Malaysia amat komited dalam menjayakan hasrat dan usaha Kerajaan untuk memperkasakan Technical and Vocational Education and Training (TVET) agar seiring dengan pendidikan arus perdana dan seterusnya diangkat martabatnya serta dibuat penyesuaian mengikut norma baharu pendidikan masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Dato’ Jabar Azman Haji Jaafar berkata, mungkin 20 tahun yang lalu, TVET dianggap sebagai kelas kedua berbanding aliran akademik di kalangan remaja dan belia di negara kita, tetapi pada hari ini TVET sebenarnya diangkat nilainya menjadi aliran alternatif untuk melangkah maju ke hadapan.

Menurutnya, bidang TVET kini tidak lagi menjadi ‘secondary choice’ semata-mata. Kita boleh melihat secara jelas bagaimana TVET menjadi penggerak utama kepada kemajuan negara-negara maju seperti Jerman, England, Jepun dan Korea.

TERUS CEMERLANG… Jabar Azman menyampaikan sijil cemerlang kepada pelatih yang menamatkan kursus dengan cemerlang.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Majlis Graduasi GIATMARA 2022 yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS pada Rabu.

Seramai 1,143 graduan menerima sijil pada kali ini daripada 4,221 pelatih yang berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Profesional GIATMARA sepanjang tahun 2019,2020 dan 2021.

GIATMARA Sabah kini mempunyai 27 buah GIATMARA dan impak yang dibawa kepada masyarakat setempat adalah sangat besar dengan 27,515 pelatih berjaya menamatkan latihan sejak tahun 1986.

“Kita telah menawarkan program latihan kemahiran yang ’employability’ dan ‘marketability’ dalam lebih daripada 68 kursus dan Program di Sabah. Bidang bermula daripada peringkat sijil Profesional, lanjutan dan specialize akan dirancang dan sentiasa diperkemas,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia (RMK) ke-11, sebanyak 60% daripada 1.5 juta pekerjaan yang diwujudkan memerlukan kelayakan berkaitan TVET.

Manakala TVET dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dengan pelbagai strategi dirangka termasuk merombak tadbir urus TVET; mempromosikan TVET sebagai satu jenama; meningkatkan kualiti program TVET dan mewujudkan pangkalan data berkaitan laluan TVET serta padanan kerjaya.

Bagi memperkemas tadbir urus dan penyelarasan TVET, Majlis TVET Negara ditubuhkan pada Disember 2020 bagi memperkukuh ekosistem TVET.

HADIRIN…Antara yang hadir dalam majlis Graduasi MARA 2022.

Bagi memenuhi keperluan ini, Kerajaan mengambil inisiatif untuk meningkatkan pengambilan pelajar setiap tahun secara berperingkat dalam bidang kemahiran bagi mengisi keperluan Negara dalam pelbagai bidang kemahiran.

Katanya,Pihak MARA melalui GIATMARA khasnya menyediakan pelbagai peluang latihan kemahiran untuk semua rakyat terutamanya generasi muda. Kita juga turut memberi keutamaan kepada lepasan pelatih GIATMARA untuk menceburi pelbagai bidang keusahawanan. Banyak peluang-peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan untuk membantu anak-anak kita dalam bidang perniagaan.

“Mengikut pengalaman MARA dan GIATMARA banyak kejayaan yang dicapai oleh generasi muda ini, khasnya setelah mendapat pendidikan atau latihan dari institusi MARA. Dalam bidang keusahawanan, ramai lepasan GIATMARA berjaya menjalankan perniagaan dalam bidang yang mereka ceburi dan MARA juga menyediakan pinjaman untuk mereka bakal menjadi seorang usahawan atau untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang tertentu.

Dalam bidang kerjaya, GIATMARA boleh berbangga kerana ada di kalangan pelajar yang berjaya menjadi usahawan dan pekerja berpendapatan tinggi dalam masa 10 tahun selepas menamatkan pengajiannya di GIATMARA.

Katanya, kesedaran orang ramai terhadap sektor kemahiran yang memerlukan kemahiran spesifik dan dapat menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat. Hari ini kita melihat bagaimana banyak industri sanggup dan bersedia untuk bekerjasama dengan GIATMARA dan MARA.

Komitmen GIATMARA dan pihak Industri adalah untuk kita terus melatih anak bangsa agar kita mencapai apa yang dihasratkan oleh kerajaan dengan peningkatan pengeluaran tenaga mahir kompeten yang berpendapatan tinggi.

Katanya, MARA dan GIATMARA sekarang kita lihat sangat agresif mengorak langkah ke hadapan melalui inisiatif-inisiatif seperti ini. Secara tidak langsung, ia menjadi indikator bahawa latihan yang dibuat diterima dan diiktiraf oleh industri.

ANUGERAH EKSEKUTIF…Salah seorang penerima Sijil Anugerah Eksekutif MARA menerima sijil daripada Jabar Azman.

Maklum balas dari pihak industri amat penting bagi kita dan secara tidak langsung kita dapat mengenal pasti ruang-ruang kelemahan yang perlu dipenuhi bagi mencapai standard tersebut.

“ Saya amat berharap agar konsep industrial-linkage kita dapat dikembangkan kepada kesemua bidang-bidang latihan yang ditawarkan. Short-cycle courses seperti ini yang sejajar dengan tagline GIATMARA ‘Kemahiran Menjamin kehidupan’ dapat kita lihat memberi lebih banyak peluang dan peningkatan pendapatan kepada belia-belia terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Beliau menyeru supaya pihak industri dan masyarakat Malaysia, terutamanya di Sabah ini untuk terus menjadi rakan strategik bagi memantapkan lagi program GIATMARA. Ia sekaligus menjadikan program TVET terus menjadi pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan kompeten yang dikehendaki bagi keperluan semasa.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Kewangan dan Pembangunan, Haji Mohammad Sadzilan Mohd Saad, Pengarah MARA Negeri Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Kerjaya dan Industri Giatmara Malaysia, Puan Nurul Azimah Mohd Ani, Pengarah Giatmara Negeri Sabah, Azizuddin Abdul Aziz.

scroll to top