GIATMARA Sabah meneraju bidang kemahiran indusrti barista dan pastry

PERKENAL KURSUS BAHARU…Pengerusi GIATMARA lancar kursus Beverage Management.

KOTA KINABALU: GIATMARA Sabah melangkah setapak ke hadapan lagi dengan memperkenalkan kursus pengkhususan terbaru, Beverage Management yang ditawarkan di GIATMARA Sepanggar. Kursus ini adalah kursus pertama seumpamanya yang ditawarkan di GIATMARA seluruh Malaysia.

Majlis pelancaran Kursus Beverage Management disempurnakan oleh Pengerusi GIATMARA Malaysia, Dato’ Dr Haji Din Adam bersama Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia, Dato’ Jabar Azman Jaafar di GIATMARA Sepanggar baru-baru ini.

Beliau seterusnya menyerahkan Dokumen Kurikulum (DK) Kursus Beverage Management yang dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Latihan GIATMARA kepada pengurus GIATMARA Sepanggar, Firdaus Habibi Abdullah sebagai simbolik pelaksanaan kursus berkenaan.

Kursus ini menawarkan latihan selama 3 bulan di GIATMARA Sepanggar dengan keperluan melengkapkan empat modul utama pembelajaran.

Pengambilan pertama akan bermula pada Januari 2023. Tidak hanya mensasarkan lepasan GIATMARA sedia ada, kursus ini juga terbuka kepada belia yang berminat untuk mempelajari bidang Beverage Management.

Menariknya, di GIATMARA Sepanggar ini sedia ada ditawarkan kursus kulinari iaitu Pramusaji dan Makanan, Konfeksioneri dan Pastri serta kursus pengkhususan Bread Artisan.

Bertepatan dengan fungsinya yang sedang dalam perancangan untuk diangkat sebagai Akademi Kulinari GIATMARA Sabah, kursus Beverage Management dilihat sebagai kursus pelengkap.

PENERAJU…GIAT MARA tarik golongan belia mahir bidang kemahiran industri barista dan pastry.

Tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan memilih GIATMARA Sepanggar sebagai pelopor kursus baru ini.

Diharapkan kursus ini dan kursus sedia ada yang ditawarkan dapat menarik lebih ramai belia dan masyarakat setempat untuk meneroka bidang kulinari seterusnya mengembangkan lagi industri Barista dan Pastry di Sabah.

scroll to top