Haji Abd Rahman Mungkin Orang Tertua Di Dunia

HAJI ABD RAHMAN @ HAJI USA BIN LAWI

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA BELUD: Ketika pendudukan Jepun di Borneo Utara pada tahun 1942, Haji Abd Rahman @ Haji Usa bin Lawi sudah berusia kira-kira 41 tahun.

Semasa pendudukan Jepun di negeri ini pada 1942 hingga 1945, beliau pernah menghantar tentera Jepun dari Kota Belud ke Ranau dengan menunggang kerbau.

Beliau pernah makan `kerut’ sejenis tumbuhan hutan selama tiga hari kerana kehabisan beras.

Katanya, musim Jepun itu, kehidupan sangat menderita dan sangat teruk.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan isteri pertamanya ketika berusia 40 tahun iaitu sebelum kedatangan Jepun tetapi tidak dikurniakan anak.

Haji Abd Rahman @ Haji Usa bin Lawi dilahirkan pada tahun 1901 di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud dari pasangan Lawi bin Lebak dan Semah binti Jaafar.Beliau memiliki tujuh adik beradik tapi kesemuanya sudah meninggal dunia.

Kini berusia kira-kira 120 tahun dan menetap bersama anaknya di Kampung Kayu Putih.

ORANG TERTUA…Haji Abd Rahman bersama anaknya Haji Ladim.

Walaupun tidak tercatat dalam buku Guiness World Book of Record, beliau mungkin orang tertua di dunia ketika ini.

Menurut catatan, rekod dunia dipegang oleh Emilio Flores Marquez dari Puerto Rico yang berusia 112 tahun 326 hari ketika diumumkan sebagai manusia tertua di dunia pada 30 Jun 2021.

Haji Abd Rahman menyifatkan era pemerintahan sebelum Perang Dunia Kedua agak bagus namun beliau tidak suka cukai kepala dikenakan kepada penduduk Borneo Utara ketika itu.

“Cukai kepala yang dikenakan kepada orang kampung dan dikutip melalui OT atau Orang Tua (Ketua Kampung) adalah sangat menyusahkan dan tidak adil.

Penyokong kuat bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun ini mengakui bahawa kemerdekaan adalah satu nikmat yang sangat berharga.

“Masa itu harga barangan murah, kehidupan juga selesa tidak seperti sekarang, keadaan hidup tidak menentu,” katanya .

Beliau menunaikan ibadah haji pada tahun 1969 dengan menaiki kapal Anson dari Jesselton (kini Kota Kinabalu) dan tiba di Jeddah selepas berlayar selama tiga bulan sepuluh hari.

Antara rakan-rakan jemaah hajinya ialah arwah Babu Anti (nenek kepada Awang Japilan), Arwah Haji Ali (bapa Jurutera Alkesah), Arwah Hajii Daur (bapa kepada Alim Pandita) .

Ketika usia mudanya, beliau adalah seorang mahir pembuat garam keras, sejenis garam tradisi Iranun.

Antara rakan-rakanmya tetapi lebih tua sedikit ialah arwah Datu Ansau (iparnya kerana isteri Datu Ansau adalah sepupunya, Arwah Datu Dawat (Sepupunya kerana emak Datu Dawat adalah adik beradik dengan ibunya).

Beliau bekerja sebagai petani dan berkahwin dengan Maliah binti Kamah bin Tamayog bin Datu A Maputih pada tahun 1948 dan dikurniakan enam orang anak. Anak sulungnya kini berusia 67 tahun. Kini mempunyai cucu dan cicit seramai 50 orang.

Haji Usa pernah menebang kawasan hutan di Bakayawa Rampayan Ulu untuk dijadikan tempat menanam padi huma ketika berusia 50 tahun pada tahun 1951.

Antara pengalaman dan peristiwa yang pernah disaksikannya ialah serangan belalang secara besar-besaran di mana tanaman padi habis dimakan belalang sekelip mata, peristiwa banjir besar tahun 1963 yang menghanyutkan ratusan kerbau.

Menurut anaknya, Haji Ladim Haji Abdul Rahman, 58, daya ingatannya ayahnya masih kuat meskipun menghadapi sedikit masalah pendengaran.

Ketika ditanya, apa petua yang diberikan oleh ayahnya dalam menjalani kehidupan ialah amalkan hidup sihat, makanan sihat sayur-sayuran tanpa baja kimia.

Jelas Ladim, ayahnya sentiasa menasihatkan agar sentiasa jujur dalam perlakuan dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

“Jangan tipu orang, jangan bercakap yang tidak ada hasilnya dan sentiasa bersikap jujur,” kata mengingat pesan ayahnya.

scroll to top