Oleh HENRY BATING
KENINGAU: Lawatan rasmi sehari Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor ke daerah ini memberi sinar cerah atas kelulusan pelbagai projek termasuk pemulihan hakisan tebing Sungai Pegalan di Kg Gasabon dan Kapayan Lama.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata kerosakan pada tebing sungai akibat bencana alam belum lama ini memerlukan peruntukan yang agak besar dengan kepakaran khusus.
“Pemulihan tebing sungai dapat mengekang risiko bencana ke atas perkampungan, tanah pertanian dan rumah-rumah berdekatan tebing,” kata Robert.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor amat berterima kasih bagi pihak Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di atas kelulusan Hajiji ke atas pelbagai peruntukan pembangunan.
Dalam lawatan tersebut, Hajiji menyaksikan penyerahan waran peruntukan naik taraf fasa 1 jalan Nulu Sosopon menuju pusat ziarah Gereja Katolik Dioses Keningau.
Hajiji turut mengumumkan pelaksanaan projek 8,000 ekar tanaman Avokado di kawasan antara Tenom dan Sipitang selepas Taklimat Pembangunan Daerah Keningau.