Hajiji umum rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Sabah

HAJIJI NOOR

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan negeri.

Kitingan, yang sebelum ini Timbalan Ketua Menteri II, menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin manakala Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam sebelum ini Timbalan Ketua Menteri III, dilantik Timbalan Ketua Menteri II.

Joachim juga dilantik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Datuk Shahelmy Yahya daripada BN dilantik Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya iaitu portfolio disandang Bung Moktar sebelum ini.

“Rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan negeri sekarang. Kami memerlukan satu pasukan kuat. Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari Pakatan Harapan ke dalam Kabinet (Sabah).

“Kerajaan negeri berazam mempunyai pemimpin yang punya iltizam sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti diharapkan rakyat. Kestabilan politik adalah penting mencapai matlamat ini,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Hajiji juga mengumumkan portfolio tiga ADUN yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pagi ini, dengan Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api) dilantik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

ADUN Luyang Phoong Jin Zhe daripada DAP dilantik Menteri Pembangunan Perindustrian manakala Datuk James Ratib (BN-Sugut) sebelum ini Timbalan Menteri Menteri Pertanian dan Perikanan negeri dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Dua ADUN bertukar portfolio iaitu ADUN Keranaan Datuk Seri Masidi Manjun daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dilantik Menteri Kewangan negeri manakala Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (GRS-Membakut) sebelum ini Menteri Tugas-Tugas Khas negeri dilantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Dua lagi ADUN mengekalkan portfolio masing-masing iaitu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim (GRS-Tamparuli), dan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin (GRS-Sook).

Rombakan Kabinet negeri itu juga menyaksikan Hajiji tidak memegang sebarang portfolio dengan melepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri kepada Masidi.

Daripada 11 Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah itu, sebanyak tujuh ahli daripada GRS, dua daripada BN dan dua lagi daripada PH.

Pada 8 Jan lepas, Hajiji mendakwa telah memperoleh sokongan 44 ADUN Sabah iaitu daripada jumlah berkenaan 29 daripada GRS, PH (tujuh), BN (lima), PAS (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu) dan Bebas (satu).-BERNAMA.

scroll to top