Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mempercepat penghantaran bekalan vaksin COVID-19 ke Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak 151 pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka di seluruh Sabah dan sudah menjalankan program jangkauan ke pedalaman.
“Namun, disebabkan bekalan vaksin masih kurang ianya memberi kesan terhadap Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang bermula pada bulan ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berharap bekalan vaksin dapat sampai ke Sabah secepat mungkin, demi mencapai matlamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu sehari 30,000 orang menerima vaksin.
Terdahulu, Ketua Menteri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah Datuk Seri Wong Khen Thau.
Dalam pertemuan itu, Wong bersam Hajiji membincangkan kesan pandemik terhadap ekonomi negeri Sabah.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memastikan lebih ramai orang yang diberi vaksinasi bagi menyekat penularan virus COVID-19.
“Selain itu, pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat akan dilaksanakan di negeri ini,” katanya.
MICC memiliki jaringan dan rangkaian antarabangsa yang luas, yang mana akan lebih stabil dalam melengkapi agenda pelaburan kerajaan negeri.