Hanya 38 peratus peruntukan Sabah, Sarawak digunakan, ubah rancangan pembangunan

BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan wajar menggunakan pendekatan baharu merancang pembangunan Sabah dan Sarawak berikutan hanya kira-kira 38 peratus peruntukan pembangunan kedua-dua negeri itu dalam belanjawan tahunan negara digunakan saban tahun.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini terjadi antara lain kerana  tender terbuka dalam perancangan pembangunan itu memerlukan masa untuk dilaksanakan seterusnya menjadikan tender terbuka tidak relevan untuk pelaksanaan projek masa kini di kedua-dua negeri itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata melalui proses tersebut, pelantikan konsultan projek akan mengambil masa tiga hingga enam bulan, sebelum fasa reka bentuk kira-kira setahun dan pembinaan projek yang kebiasaannya hanya dapat dimulakan dalam tiga tahun setengah.

“Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan agak besar berbanding negeri lain, ini sudah tentu peruntukan untuk tujuan pembangunan tidak boleh disamakan (dengan negeri lain di Semenanjung). Kita telah melaluinya berpuluh-puluh tahun dan mungkin tender terbuka sudah tidak sesuai.

“(Peruntukkan pembangunan) RM5 bilion itu sedikit sahaja terpakai dan dibawa ke hadapan lagi … akan datang umum lagi RM5 bilion, padahal yang terpakai hanya RM1 bilion lebih (setahun) jadi sampai bila keadaan ini berlarutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Belanjawan 2022 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt tahun lepas, sebanyak RM5.2 bilion diperuntukkan untuk Sabah dan RM4.6 bilion untuk Sarawak sebagai peruntukkan pembangunan negeri tersebut.

Bung Moktar berkata perkara itu wajar diambil tindakan lebih serius berikutan aspek pembangunan di Sabah dan Sarawak dilihat jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain, seterusnya lebih banyak fokus perlu diletakkan ke atas pembagunan seimbang seluruh negeri.

Beliau berkata sekiranya perkara tersebut sukar dilaksanakan, peruntukan pembangunan tahunan itu perlu diberikan secara terus kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menguruskan serta merancang pembangunan yang menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersetuju meluluskan fasa satu Pakej Lebuh Pan Borneo sebanyak 19 pakej untuk Sabah.

“Seharusnya keputusan ini telah lama diambil tindakan berbanding dengan negeri jiran Sarawak Lebuh Raya Pan Borneo sudah hampir 85 peratus siap tetapi di Sabah fasa satu baru bermula dan inilah antara kekangan yang melambatkan proses pembangunan di Sabah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Bung Moktar meminta Kerajaan Persekutuan agar mengambil perhatian yang serius untuk memberikan peruntukan kepada Sabah khususnya dalam penyediaan sistem perhubungan jalan raya yang agak jauh ketinggalan.

scroll to top