LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan Dato Sri Amir Hussin dengan kerjasama Syarikat MarryBrown telah menyampaikan sumbangan kit makanan kepada hampir 500 petugas barisan hadapan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengorbanan dan komitmen yang tinggi para petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan jangkitan COVID-19 di Labuan wajar dihargai oleh semua pihak.
“Kita perlu menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga dalam memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat distabilkan, “ katanya ketika ditemui pada program penyerahan agihan kit makanan di Menara Perbadanan Labuan.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga Labuan yang telah memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan selama ini.
“Selain menghargai petugas barisan hadapan, warga Labuan secara keseluruhannya telah memberikan kerjasama dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjayakan sasaran kerajaan untuk menstabilkan kes COVID-19 di Labuan, katanya.

SERAH … Simbolik penyerahan kit makanan yang disampikan oleh Hjh Rokiah Hj Ismail wakil MarryBrown Labuan kepada Dato Sri Amir Hussin Pengerusi Perbadanan Labuan.
Simbolik penyerahan diadakan di Menara Perbadanan Labuan yang telah disempurnakan oleh Amir kepada wakil PDRM Labuan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Penguatkuasa Perbadanan Labuan.
Turut hadir Hj Rituan Hj Mohd Ismail Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan, Dr Ismuni Bohari Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Hjh Rokiah Hj Ismail wakil MarryBrown Labuan.