Hasyuda Abadi penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3

HASYUDA ABADI

KOTA KINABALU: Pengarang prolifik, Haji Sukor bin Haji Usin, yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi terpilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3.

Menurut kenyataan DBP Sabah, Penilaian  dilaksanakan berdasarkan pencapaian karya dan kepengarangan beliau, yang dinilai dari segi kesan pemikirannya kepada masyarakat, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan pengarang ini, khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di negeri Sabah bahkan pada peringkat kebangsaan.

Kepengarangan Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi. Bakatnya dalam penulisan puisi bermula sewaktu beliau berusia dua puluh tahun.

Sejak tersiarnya puisi beliau yang berjudul “Mengapa Oh Mengapa” dalam Sabah Times bertarikh 13 Disember 1980, bakatnya terus berkembang apabila sejumlah besar puisinya diterbitkan dalam pelbagai medium penerbitan.

Sehingga kini, beliau menghasilkan lebih daripada 400 buah puisi yang tersiar dalam akhbar dan majalah. Sejumlah puisi beliau turut diterbitkan dalam lapan buah kumpulan puisi perseorangan dan lebih daripada 60 buah antologi puisi, bersama-sama dengan pengarang lain, justeru tidaklah menghairankan jika dikatakan “forte” Hasyuda Abadi ialah puisi.

Di samping itu, Hasyuda Abadimenghasilkan kira-kira 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas dan radio. Cerpen Hasyuda Abadi telah diterbitkan dalam beberapa antologi dan kumpulan cerpen, antaranya Rantau Utara (1989), Ibrah (2003), Sepasang Sayap Jelita (2004), Ega (2008) dan Aki Sompoton 2 (2008).

Esei beliau diterbitkan dalam pelbagai buku dan prosiding, antaranya, Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya (2005), Kumpulan Esei Kritikan Penulis Sabah (2010) dan Bahasa-Sastera Negara Serumpun dalam Perspektif Sejarah dan Masa Depan (2015).

Skrip drama beliau diterbitkan secara bersama dalam buku Unduk Ngadau (2005). Hasyuda Abadi ternyata memiliki bakat kepengarangan yang cukup ampuh dalam pelbagai genre.

Hasil karya beliau sering tersiar dalam media tempatan di Sabah seperti Harian Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo. Karyanya turut termuat dalam media nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak karyanya mula diterbitkan pada tahun 1980, Hasyuda Abadi terus prolifik apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar dalam media di Sabah. Ketekalan pengkaryaannya, pencapaian karya dan ketokohannya sepanjang lebih empat dekad, memberikan kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah.

Kejayaan Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera peringkat kebangsaan, seperti Hadiah Sastera Malaysia yang kemudian diberi nama baharu Hadiah Sastera Perdana Malaysia, menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang-pengarang nasional yang lain.

Sepanjang penglibatan Hasyuda Abadi dalam ranah sastera, kecemerlangan pencapaian karyanya dalam pelbagai kegiatan pengiktirafan sastera membuktikan daya pengucapan seninya yang bermutu tinggi.

Empat tahun selepas tersiar puisi pertamanya pada tahun 1980, puisi “Salam Buat Kekasih” memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 1984/1985. Pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang penulis muda ketika itu.

Kemenangan ini disusuli pula dengan kejayaan puisinya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005 melalui puisinya “Tsunami Bukan Hanya Namamu”. Pencapaian ini turut diraih melalui puisinya “Pada Hari-hari yang Berharga” dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun penilaian 2017/2018.

Tokoh ini memiliki dimensi kreativiti puisi yang menyeluruh, yang turut sedar akan hubungan vertikalnya dengan Maha Pencipta dan pada masa yang sama mampu mentafsir hubungan horizontalnya dengan sesama manusia, alam, flora dan fauna, memanfaatkan bakatnya bagi menanjakkan karya bermutu yang sarat dengan pesan demi kemanusiaan.

Justeru, selayaknyalah Hasyuda Abadi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-3.

scroll to top