Oleh YUSOP TEPPO
SANDAKAN: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali memberi amaran tegas terhadap pemilik atau tauke ladang di negeri ini agar lebih berhati-hati ketika mengambil pekerja.
Beliau mengingatkan tauke ladang agar tidak mengambil pekerja yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Cari pekerja memiliki dokumen yang lengkap, jangan hanya memikirkan membayar gaji murah,” katanya.
Hazani berkata pemilik ladang juga sewajarnya menyiasat terlebih dahulu berhubung latar belakang pekerja yang hendak diambil.
Amaran berkenaan juga turut diberikan oleh Hazani kepada sektor-sektor lain seperti pembinaan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Sandakan berhubung dua individu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditembak mati di Pulau Timbang Sandakan, jam 5 pagi pada Jumaat.
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan kerjasama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut menahan tujuh orang ahli kumpulan Abu Sayyaf di sebuah ladang di pulau berkenaan pada 18 Ogos lepas.
Kumpulan pengganas ini sedang merancang melakukan penculikan terhadap tauke-tauke atau pemilik ladang di sekitar kawasan berkenaan termasuk Sukau.
Salah seorang individu yang ditembak mati setelah berbalas tembak dengan polis merupakan perancang utama bagi melakukan penculikan terbabit.
Bagaimanapun, dengan kejayaan ini, Hazani percaya pasukan keselamatan berjaya menggagalkan rancangan kumpulan terbabit.
Beliau turut mengesahkan setakat ini tiada penduduk tempatan yang terlibat dengan kumpulan terbabit kerana ahli kumpulan ini hanya bercampur antara mereka sahaja.
Hazani menggesa kepada penduduk tempatan agar jangan bersekongkol dengan kumpulan pengganas ini dan sentiasa membantu pihak keselamatan kita dalam mempertahankan ketenteraman, keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah sepenuhnya.
“Kumpulan pengganas ini menjadikan negeri Sabah sebagai tempat perlindungan untuk keselamatan mereka. Oleh itu, kita perlu ambil tindakan terhadap mereka mengikut lunas undang-undang dan tanggapan mereka itu adalah salah,” katanya.
Beliau menegaskan gerakan membasmi kumpulan pengganas Abu Sayyaf di negeri ini akan sentiasa diteruskan.