Oleh HENRY BATING
LABUAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Patau-Patau dihentikan dan membuka jalan pintas Tuanku Sharif Kedah (Bataras – Sebor).
Ketua Cabang PKR Labuan Simsudin Sidek berkata langkah tersebut perlu diambil berikutan Wilayah Persekutuan Labuan telah diumumkan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 26 Ogos 2021.
“Labuan telah memasuki Fasa 4 dan jalan raya semakin sesak kerana pergerakan awam sudah dibenar berdasarkan bilangan kapasiti kenderaan,” katanya.
Simsudin menegaskan, penutupan Jalan Tuanku Sharif Kedah serta sekatan jalan raya sejak Labuan memasuki Fasa 3 telah memberi kesan secara tidak langsung ke atas pergerakan orang awam di kawasan tersebut.
Menurut Simsudin, semua sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi mengikut kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuatkuasa.
“Namun sekatan jalan raya dan penutupan Jalan Tuanku Sharif Kedah masih diteruskan sehingga menyebabkan perjalanan kian sesak dan menyulitkan pergerakan awam,” katanya.
Meski sudah berada di Fasa 4, Simsudin meminta warga Labuan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mencapai status Labuan bebas COVID-19.