KUALA LUMPUR: Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang turut menobatkan Datuk Jasni Matlani sebagai penerima hadiah sastera yang terbanyak semalam membuktikan penulis di Blok Borneo juga mampu memberikan saingan positif di peringkat kebangsaan.
“Hasil usaha bersungguh-sungguh oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah yang berterusan dari segi penerbitan karya dalam bentuk buku dan melaksanakan kegiatan sastera terbukti membuahkan hasil apabila dua buah buku Datuk Jasni terbitan DBP itu berjaya meraih HSPM semalam, ” kata Jasni, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), di sini, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas menerima Hadiah Sastera prestij itu.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada DBP Sabah, terutama Puan Maslijan Abd Rasad dan Mohd. Almiey Mohd Ali (Allahyarham) yang menjadi editor dan menangani kedua-dua buku berkenaan dengan baik beberapa tahun lalu sehingga mampu meraih HSPM dan turut membantu memartabatkan Sastera di Malaysia.
Dalam majlis penyampaian HSPM tahun penilaian 2019/2020 yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP itu semalam, Jasni memenangi tiga Hadiah utama kategori A buku Sastera Dewasa dan sebuah lagi karya puisi eceran bagi kategori B.
Buku Jasni yang menang HSPM itu ialah, buku esei kritikan Sastera, “Angin Perubahan: Memperkasakan Sastera Melayu di Sabah (DBP:2019) buku biografi/autobiografi “Angin Perubahan Memoir Jasni Matlani” (DBP:2019) dan buku kumpulan cerpen “Perempuan Aneh yang meletupkan diri di dalam gelas” (Iris Publishing :2020). Manakala puisi beliau yang berjudul “Angin yang meletakkan kepalanya di bantal”, menang kategori B puisi eceran.
Jasni yang juga Penerima SEA Write Award 2015 mencipta sejarah buat negeri Sabah, apabila menang tiga hadiah utama kategori A dan sebuah karya puisi kategori B, yang sekali gus menunjukkan penulis Sabah boleh bersaing di peringkat kebangsaan dan serantau.
“Sebagai tanda penghargaan, saya ucapkan terima kasih kepada DBP Sabah, dengan harapan agensi kerajaan yang menanungi penulis itu akan terus berada di landasan dalam memperkasakan sastera Melayu di Sabah,” katanya.
Untuk rekod seramai 47 penulis Malaysia menerima anugerah Sastera HSPM itu dalam pelbagai kategori, dengan tiga orang daripadanya ialah Sasterawan Negara, A. Samad Said, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dan Sasterawan Negara Kemala.
Manakala Penerima Anugerah SEA Write lain yang turut menerima HSPM ialah Malim Ghozali PK (SEA Write 2013) dan SM Zakir (SEA Write 2011). Semua Hadiah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.