Hujan berterusan: APM Sabah siap siaga hadapi banjir

SANDAKAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah bersiap sedia sejak semalam bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan ramalan hujan berterusan sehingga esok terutama di daerah Sandakan, Kinabatangan dan Beluran.

Pegawai APM Sandakan Kapten Abdullah Sabaruddin berkata pihaknya bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan jabatan serta agensi penyelamat lain telah mula melaksanakan pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti berpotensi berlaku banjir.

“Kawasan dalam pemantauan kami yang dikenal pasti berpotensi mengalami kenaikan paras air mendadak ialah Mamanjang iaitu kawasan antara daerah Sandakan dan Beluran, serta Gum-Gum di Sandakan.

“Kami turut memantau penempatan berhampiran dengan sumber air seperti sungai dan laut kerana selain ancaman banjir, kami juga bimbang dengan ancaman ribut semasa hujan berterusan ” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 12.30 tengah hari tadi memaklumkan hujan lebat berterusan peringkat buruk diramal sehingga esok (10 Mac) di Sabah, melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Abdullah berkata pihaknya sentiasa memastikan kesiapsiagaan semua peralatan, khususnya kenderaan dan bot bagi memudahkan proses bantuan kepada penduduk terjejas dapat digerakkan dengan segera dan lancar.

Sementara itu di Kinabatangan, Pegawai APM daerah Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata meskipun daerah itu turut diramal berlaku hujan berterusan, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) telah merumuskan cuaca semasa di Kinabatangan yang mendung dan hujan renyai sesekali, tidak mendatangkan impak kepada kemungkinan berlakunya banjir.

“Walaupun demikian, pasukan pemantauan melibatkan APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Rela sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata pasukan pemantauan itu telah diaktifkan susulan ramalan cuaca tersebut dan mengenal pasti tiga kawasan berpotensi banjir iaitu Jalan Cangkul Buang Sayang, Pangkalan Bukit Garam dan Kampung Sungai Lokan.

Dalam pada itu, Pengarah APM Sabah Kol (PA) Sharudin Md Zain berkata bagi menghadapi situasi hujan berterusan itu, semua agensi berkaitan telah dimaklumkan khususnya Polis Diraja Malaysia dan JBPM untuk berada di lapangan.

“Semua agensi telah dimaklumkan untuk memantau kawasan hotspot di daerah masing-masing, pusat kawalan operasi bencana juga telah diarah untuk mengaktifkan sistem pelaporan,” katanya.

scroll to top