Imigresen bersedia buka pintu sempadan

TINJAU ...Khairul ketika meninjau operasi di penempatan setinggan di Likas, pada awal pagi kelmarin.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah bersiap sedia untuk berdepan pelbagai cabaran dengan pembukaan semula sempadan negara yang akan bermula, 1 April depan.

Ia termasuk cabaran tenaga kerja di semua pintu masuk sempadan yang berdepan kemungkinan penularan Covid-19.

Ketua Pengarah JIM Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil lawatannya ke pintu-pintu sempadan mendapati, semua bahagaian sudah bersedia dengan pelaksanaan pembukaan semula sempadan khususnya di negeri ini.

Katanya, begitu juga dari segi tenaga kerja di mana semua pegawai diaturgerak dengan sedikit penjajaran.

“Sebagai contoh pegawai di pintu masuk di bawa ke depoh untuk tugasan sementara apabila berlaku kes-kes positif dan sekarang ini mereka akan ditempatkan semula di pintu masuk.

“Saya sudah melawat di pintu masuk lain di Mengkalap, Sindumin dan Merapok dan tujuannya untuk melihat persiapannya dan setakat ini JIM sudah bersedia ,” katanya.

Beliau berkata dekimian ketika ditemui media selepas hadir pada operasi di penempatan setinggan di Likas, di sini, pada awal pagi kelmarin.

Khairul Dzaimee berkata, pembukaan semula pintu sempadan dijangka lancar jika negara jiran juga turut membuka sempadan mereka pada bulan depan.

“InsyaAllah, sekiranya negara-negara jiran kita juga melaksanakan pembukaan sempadan yang sama pada 1 April ini, proses keluar masuk ini tidak akan mengalami banyak masalah.

“Sistem-sistem yang digunakapakai sudah diuji semula dan setakat ini berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai lawatannya ke pintu sempadan, Khairul Dzaimee turut memaklumkan sebuah lagi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan dibina di negeri ini.

“Saya sudah melawat post Imigresen di Pagalungan, Tenom dan kawasan sana agak jauh saya pergi dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaiki helikopter dan tujuan lawatan untuk melihat proses imigresen di sana.

“Selain itu, saya dimaklumkan bahawa satu tapak untuk (ICQS) yang lebih sempurna sudah dikenal pasti untuk pembangunan di masa hadapan,” katanya.

scroll to top