Imuniti Kelompok Tercapai, Beri Labuan Kebenaran ‘Dine-In’ 

SIMSUDIN SIDEK

Oleh HENRY BATING

LABUAN: Kejayaan Labuan mencapai sasaran 80 peratus golongan dewasa divaksin menjadikan pulau bebas cukai ini wilayah pertama mencapai imuniti kelompok membendung penularan Covid-19.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan Simsudin Sidek berkata pencapaian tersebut perlu ditindak lanjuti dengan kebenaran beroperasi sektor ekonomi dan industri tertentu yang dikenal pasti berisiko rendah.

“Kerajaan perlu meneliti sektor ekonomi atau industri manakah yang menjadi penyumbang angka jangkitan Covid-19 berdasarkan laporan harian Covid-19,” katanya.

Simsudin menjelaskan, pelbagai jenis perniagaan yang tidak membabitkan orang ramai dalam satu premis harus diberikan kebenaran dan pertimbangan untuk beroperasi.

Simsudin menggesa agar SOP baharu dirangka bagi memulihkan sistem ekonomi khususnya di Labuan agar semua sektor yang dikenal pasti berisiko rendah dibenarkan beroperasi serta-merta.

Simsudin menegaskan, tidak perlu menunggu sehingga negara memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara untuk membenarkan sektor tertentu beroperasi.

Menurut Simsudin, kerajaan harus memberi kebenaran ‘dine-in’ kepada premis makanan dan restoran dengan mengehad dua pelanggan bagi setiap meja.

“Isu ini sangat penting kerana tidak semua restoran dan premis makanan sesuai untuk melaksanakan kaedah ‘tapau’ serta perkhidmatan penghantaran,” katanya.

Tegas Simsudin, keadaan itu menyebabkan ramai peniaga kecil dan restoran putus pendapatan dan juga terpaksa menanggung beban bayaran sewa.

Jelasnya, ramai pekerja premis kehilangan punca pendapatan terutama pekerja premis makanan.

“Namun sekiranya ‘dine-in’ dibenarkan ianya sedikit sebanyak dapat membantu keluarga terlibat meringankan beban dan tidak hanya bergantung dengan bantuan bakul makanan,” katanya.

Simsudin berharap semua sektor perniagaan dapat beroperasi seperti biasa bagi memulihkan sistem ekonomi dan pendapatan kalangan keluarga yang terjejas selama ini.

scroll to top