Inisiatif Majikan Daftar Vaksinasi 908 Pekerja Ladang

VAKSIN ... Suasana Program Outreach Vaksinasi 'Daftar dan Vaksin' Covid-19 di Ladang Genting Plantations Sekong, Sukau.

KINABATANGAN:  Atas inisiatif majikan, seramai 908 warga pekerja ladang di Sukau berjaya didaftarkan dalam program vaksinasi.

Sementara itu, 168 orang telah melengkapkan dua dos vaksin manakala 348 lagi menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BionTech menerusi Program Outreach Vaksinasi ‘Daftar dan Vaksin’ Covid-19 di Ladang Genting Plantations Sekong, Sukau.

Pengurus Kanan, Genting Plantations Ladang Sekong Sukau berkata inisiatif itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan (PPK) Kinabatangan berdasarkan tanggungjawab syarikat bagi melindungi para pekerja serta ahli keluarga.

“Kami komited dengan saranan kerajaan untuk menggiatkan kempen vaksinasi ini dan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerja.

“Pada hari ini, sebagaimana yang kita lihat, sambutan daripada warga pekerja amat menggalakkan baik warga tempatan dan mahupun warga asing.

“Saya mewakili pihak pengurusan syarikat, mengucapkan terima kasih kepada PKK Kinabatangan kerana memberi peluang kepada kami menyahut seruan kerajaan iaitu kempen vaksinasi kebangsaan yang sedang giat dijalankan,” jelas beliau.

Mathan turut memaklumkan, semua penerima vaksin berkenaan merupakan para pekerjanya dari dua ladang dan sebuah kilang Genting Plantations iaitu Ladang Sekong, Ladang Suan Lamba dan Kilang Genting Terus Hidup Oil Mill (GTHOM).

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Kinabatangan, Dr Maini Sebait berkata bagi mencapai sasaran  imuniti kelompok 80 peratus golongan dewasa yang sudah divaksin tercapai, pihaknya mula masuk ke kawasan kampung serta ladang bagi mempercepatkan proses vaksinasi melalui program jangkauan luar CITF.

TINJAU….Mathan (kanan) bersama Elangovan (kiri), Alexander dan Madung (dua dari kanan) meninjau operasi vaksinasi warga kerjanya.

Program outreach tersebut merupakan kolaborasi Kementerian Kesihatan Malaysia dengan beberapa agensi seperti Pejabat Daerah Kinabatangan,Jabatan Penerangan Kinabatangan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kinabatangan.

Selain itu, tambah Maini, KKM Kinabatangan juga menyasarkan 1,000 dos vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehari kepada penduduk di daerah itu.

Malah, PPV yang beroperasi di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan kini mula memberikan vaksin secara walk-in atau jumpa terus setiap hari.

Hadir sama pada program vaksinasi itu ialah Pengurus Genting Plantations (Pengurus Keselamatan dan Kesihatan), Madung Marupe, Pengurus Genting Plantations Ladang Suan Lamba Sukau, Elangovan A/L Manivellu dan Pengurus Agronomy, Alexander Aban.-Penerangan.

scroll to top