IPD Penampang Wujud Kerjasama Rapat Dengan Institusi Masjid

PENERANGAN: Mohd Haris memberi penerangan terperinci mengenai SOP pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di surau dan masjid.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

PENAMPANG: Polis Daerah Penampang mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan khas bersama pengerusi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di daerah Penampang dan Putatan ke arah memperkasa kepolisan komuniti menerusi Pegawai Perhubungan Masjid (PPM), di sini, petang kelmarin.

Sesi perjumpaan khas ini bertujuan memberikan penerangan terperinci mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di surau dan masjid dalam daerah Penampang serta Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Hj Ibrahim ketika sesi dialog berkata, perjumpaan ini diadakan sebagai wadah perbincangan merungkaikan segala bentuk permasalahan dalam institusi masjid di bawah pentadbiran masing-masing terutamanya dalam melaksanakan SOP yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Suka saya tegaskan kepada semua pengerusi dan AJK surau serta masjid untuk terus patuh dan akur kepada SOP yang telah ditetapkan oleh JHEAINS dalam mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Tegasnya, pematuhan SOP yang ketat di masjid dan surau dapat menghindari kewujudan kluster-kluster baharu terutamanya ketika musim perayaan.

“Polis Daerah Penampang sentiasa memberikan kerjasama yang penuh kepada pihak masjid dan surau di dalam daerah ini menerusi pelantikan PPM,” katanya.

PPM merupakan elemen Community Policing yang terletak di bawah inisiatif Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kepolisan Komuniti (JPJKK) iaitu terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang berfungsi sebagai ‘ejen’ di antara pihak polis dan masyarakat dalam mengetengahkan sesuatu isu atau sebarang permasalahan berhubung institusi masjid.

Terdahulu, Mohd Haris telah memberikan penerangan terperinci mengenai SOP pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di surau dan masjid yang telah dikeluarkan oleh JHEAINS.

Turut hadir dalam perjumpaan khas itu ialah Ketua Tadbir Agama Daerah Putatan Aisah Ohdin yang bersama-sama dalam sesi soal jawab mengenai isu dan permasalahan di peringkat pengurusan institusi masjid surau.

Seramai 14 pengerusi dan AJK masjid serta surau di Daerah Penampang dan Putatan hadir pada perjumpaan khas itu.

Hadir sama, Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Penampang Azrie Syazwan Jainal, Penasihat Komuniti IPD Penampang ASP (Kehormat) Yazzer Mahmun, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Polis Balai dan PPM.

scroll to top