IPS sambut baik guna BM dalam urusan luar negara

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN

KOTA KINABALU: Ikatan Penulis Sabah (IPS) menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasminya di luar negara.

“Hasrat ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Kerajaan dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, tetapi juga menggambarkan kedudukan sebenar bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah difahami, dipelajari dan dihayati oleh masyarakat antarabangsa,” kata Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin.

Hakikatnya, bahasa Melayu meraih kedudukan yang amat tinggi pada kurun ke-15 apabila menjadi lingua franca kepada pedagang di Tanah Melayu yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Sampai ke saat ini pun, bahasa Melayu masih dipertuturkan oleh sekurang-kurangnya 200 juta orang penutur jati dari seluruh pelusuk dunia, terutamanya dari negara-negara Asia Pasifik, katanya.

Usaha yang dihasratkan Kerajaan ini mudah-mudahan menjadi tarikan kepada masyarakat dunia untuk mengenali dan menghayati keindahan Malaysia, sekaligus mengembalikan bahasa Melayu ke kedudukan yang sepatutnya.

Sebagai organisasi yang menggerakkan bahasa dan sastera Melayu di Sabah, IPS bersedia membantu dan menyokong Kerajaan mempromosikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa menerusi jalinan dan jaringan dengan lebih banyak masyarakat di dalam dan luar ASEAN, katanya.

scroll to top