Isu berkaitan tenaga buruh akan diteliti

TANAM POKOK: Dr. Joachim (duduk) menanam pokok spesies 'Neolamarckia Cadamba' (Laran) di IWP Sdn Bhd sambil disaksikan oleh Frederick (dua kiri). Turut serta Thomas (belakang, dua kiri) dan PJ Tan (kanan).

TAWAU: Kementerian Pembangunan Perindustrian akan meneliti isu-isu berkaitan tenaga buruh.

Selain itu, pihak kementerian juga meminta Jabatan Perhutanan Sabah memberikan sokongan kepada keperluan bahan mentah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyatakan demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang perusahaan perkayuan, Integrated Wood Processing (IWP) Sdn Bhd di sini, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian (MID) diberikan taklimat oleh Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran syarikat Kong Hon Ping.

Perkara-perkara yang turut dibincangkan antaranya mengenai isu buruh serta bahan mentah dan produktiviti kilang yang beroperasi dengan hanya 50 peratus kapasiti berikutan kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah.

Dalam pada itu, IWP juga hanya mampu menggunakan 10 peratus kayu tanaman sebagai bahan mentah.

Beliau turut merasmikan program penanaman pokok yang dianjurkan oleh Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA).

Ini adalah sebagai menyokong usaha kerajaan dalam program penanaman pokok, dan juga bertujuan meningkatkan kesedaran kepada pemain industri kayu-kayan mengenai kepentingan menanam semula pokok.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Thomas Logijin; Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan; Presiden STIA PJ Tan; Ketua Pegawai Eksekutif IWP Simon Law; Ketua Pegawai Eksekutif Jawala yang juga ahli STIA Rahman Khan serta pegawai-pegawai kementerian.

Setelah itu, Dr. Joachim juga menyempurnakan penanaman pokok di Shan Shui, Golf and Country Club dan menyaksikan penyerahan anak pokok kepada dua ahli STIA iaitu Fu Yee Corporation Sdn Bhd, Ikut Maju Sdn Bhd dan Ji Min Moral Uplifting Society.

scroll to top