Isu Haiwan Berkeliaran Di Keningau Perlu Ditangani Segera 

DIBIAR ... Lembu-lembu yang dibiar berkeliaran membawa banyak resiko yang tidak baik kepada penduduk di Keningau.

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KENINGAU: Persatuan Belia di daerah ini berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serius untuk menangani masalah haiwan peliharaan yang berkeliaran dengan segera.

Pengerusi Kelab Belia Keningau, Syafiee Haji Ludi berkata, masalah itu perlu ditangani bagi mengatasi kemalangan jalan raya dan pencemaran pemandangan dengan najis-najis haiwan peliharaan yang berkeliaran ini.

SYAFIEE HAJI LUDI

“Kita sering mendengar kemalangan berlaku disebabkan haiwan berkeliaran dan ada juga yang menyebabkan kemalangan maut.

“Seharusnya pemilik harus menanamkan kesedaran dalam diri dan bersikap lebih bertanggungjawab dengan tidak melepaskan haiwan peliharaan atau ternakan mereka kerana ianya boleh membahayakan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.

“Jalan-jalan utama menuju ke pusat pelancongan dan rekreasi di daerah Keningau juga dicemari oleh najis binatang ini.

“Perkara ini boleh menyebabkan ketidakselesaan dan mencemarkan pemandangan pengunjung dari luar daerah atau negeri mahupun pelancong asing yang datang berkunjung ke daerah ini.

“Sekiranya perkara ini tidak diambil tindakan dengan tegas dari pihak berkuasa, saya percaya masalah ini akan berlanjutan sampai bila-bila,” jelasnya.

Sementara itu bagi, Pengerusi Kelab Belia KadazanDusun Keningau, Daffri Adzahari berkata, beliau berharap  PBT dapat bertindak tegas agar masalah ini tidak berterusan dan tidak berulang pada masa akan datang.

DAFFRI ADZAHARI

Katanya, perkara ini menjadi hangat diperkatakan di kalangan  penduduk Keningau, dan bukan perkara baru tetapi sekian lama yang tiada kesudahannya.

“Pihak PBT mengeluarkan arahan, akan tetapi pemilik haiwan  seperti tidak mempunyai sifat tanggungjawab akan keselamatan penduduk setempat.

“Mohon pihak PBT  mengambil tindakan yang serius dengan perkara ini, kerana ia melibatkan keselamatan dan sosioekonomi penduduk setempat.

“Semoga perkara ini mendapat tindak balas yang positif daripada pelbagai pihak demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Tambahnya, masalah itu diharap tidak lagi berlarutan dan dapat diselesaikan dengan segera.

scroll to top