Jabatan Pendidikan Sabah aktifkan Op Payung pastikan SPM lancar

DR MISTIRINE RADIN

TUARAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah mengaktifkan Op Payung sebagai langkah siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam termasuk banjir sepanjang berlangsung peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang bermula hari ini hingga 29 Mac.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Dr Mistirine Radin berkata ini bagi memastikan peperiksaan awam itu berjalan lancar dan semua calon SPM dapat mendudukinya mengikut jadual.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang diedarkan kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah serta sekolah di Sabah, memandangkan keadaan cuaca kini yang tidak menentu, dikhuatiri boleh menyebabkan bencana banjir serta tanah runtuh.

“Langkah kesiapsiagaan ini boleh digerakkan segera apabila diperlukan. Semua pegawai pendidikan daerah juga diarah mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli di sini, hari ini.

Seramai 39,250 calon SPM berdaftar di Sabah akan menduduki peperiksaan awam itu di 315 pusat disediakan di seluruh negeri yang dikendalikan oleh 4,650 petugas peperiksaan.

Mistirine berkata pihaknya turut menyediakan SOP ketat sebagai usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 di pusat peperiksaan termasuk menyediakan bilik khas bagi menempatkan pelajar didapati bergejala, sebelum dihantar untuk perhatian lanjut petugas kesihatan.

Beliau berkata bilik gerakan peperiksaan juga telah diwujudkan di semua daerah yang antara lain akan memberi laporan harian terutama berkenaan kehadiran calon pada setiap sesi peperiksaan termasuk mereka yang dikuarantin atau berada di hospital.

“Laporan kehadiran calon menerusi e-Kehadiran akan diterima setiap pukul 4 petang. Laporan itu akan dianalisis untuk mengetahui jumlah calon yang sedang berada di hospital mahupun menjalani kuarantin,” katanya.

Mistirine juga berkata mana-mana calon SPM di negeri itu yang disahkan positif COVID-19 dan tidak boleh menghadiri peperiksaan, dibenarkan membuat permohonan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua dijadual April ini.

Sementara itu Pengetua SMK Tamparuli Mozidah Hamzah berkata 297 calon menduduki peperiksaan SPM di sekolah berkenaan, dengan tiga pusat peperiksaan disediakan yang dikendalikan oleh 25 petugas.

Beliau berkata semua calon SPM yang menghadiri peperiksaan di sekolah itu pada hari ini berada dalam keadaan sihat, namun pihaknya merekodkan tiga calon disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin.-Bernama.

scroll to top