Jambatan gantung Kg Daramakon kini selamat digunakan

SELAMAT DIGUNA: Jambatan Kg Daramakon sudah siap dibaiki dan selamat untuk digunakan oleh penduduk kampung.

RANAU: Jambatan gantung Kampung Daramakon yang rosak akibat banjir kini selamat digunakan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kini penduduk kampung sudah boleh menggunakan jambatan itu bagi menjalankan aktiviti harian.

“Ia rosak semasa banjir sungai berikutan cuaca hujan yang berterusan pada Januari lalu,” katanya dalam kenyataan media.

Jambatan sepanjang 110 meter dengan ketinggian 15 kaki itu merupakan satu-satunya jambatan yang menghubungkan penduduk kampung dengan tanah perkebunan/pertanian.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, jambatan berkenaan dibaiki oleh kontraktor asal.

“Kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan juga akan melihat serta membaiki jambatan-jambatan gantung lain yang rosak akibat bencana secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan peruntukan kewangan,” katanya.

Joachim turut menghargai komitmen Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang memantau dan memastikan kerja-kerja pembaikan jambatan berjalan lancar.

Sementara itu, penduduk kampung turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Joachim terhadap masalah yang dihadapi mereka.

scroll to top