SOOK: Sudah lebih dua tahun jambatan yang menjadi perhubungan di antara penduduk Kampung Sanang Dalit dengan penduduk Kampung Karamatoi telah terputus akibat banjir kilat yang melanda di kampung tersebut.
Sebelum ini jalan tersebut merupakan salah satu jalan utama yang menghubungkan penduduk Kampung Dalit ke Sook, memandangkan jalan ini merupakan jalan pintas untuk ke pekan Sook.
Namun kerana jambatan ini terputus menyebabkan ramai penduduk terkesan terutamanya penduduk Kampung Sanang Dalit, mereka terpaksa menggunakan alternatif lain yang lebih jauh dan memakan masa.

DATUK ELLRON ANGIN.
Rata-rata penduduk kampung tersebut mengeluh kerana mereka mengalami kesukaran terutamanya apabila ada ahli keluarga yang sakit tenat untuk dibawa ke klinik berdekatan.
Selain itu, penduduk kampung juga sukar mengeluarkan hasil komoditi mereka memandangkan jambatan tersebut tidak boleh dilalui.
Berdasarkan kepada beberapa penduduk kampung yang ditemui, jambatan tersebut dibina pada tahun 1970-an lagi namun telah runtuh dua tahun lepas disebabkan oleh banjir kilat akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di hulu Sungai Karamatoi.
Permasalahan tersebut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN N.45 Sook, Datuk Ellron Angin melalui lawatan beliau tahun lepas di kampung ini.
Beliau telahpun mengusulkan isu ini kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Kerja Raya, Keningau memandangkan pembinaan jambatan ini merupakan salah satu tanggungjawab pihak tersebut kerana termasuk dalam kawasan kampung.
Walau bagaimanapun, masalah ini masih berlarutan disebabkan, kos pembinaan ini dianggarkan menelan ratusan ribu ringgit.
“Saya sudah memanjangkan isu ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan sampai sekarang masih belum mendapat sebarang jawapan.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya menggesa agar pihak berkenaan mempercepatkan pembinaan memandangkan jambatan ini sememangya memberikan manfaat kepada penduduk setempat,” tegas Ellron ketika ditemui.
Rentetan daripada permasalahan tersebut, di atas keprihatinan beliau, pembinaan baru jambatan Kampung Sanang Dalit telahpun dimasukkan dalam Unit Pembangunan Ekonomi Nasional (UPEN) di bawah Skim Bencana Alam dalam usaha memastikan permasalahan ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.
Dalam pada itu Lingkungan, salah seorang penduduk Kampung Sanang Dalit yang ditemui mengharapkan agar pihak yang berkenaan mempercepatkan pembinaan jambatan baru.
” Sudah dua tahun kami menunggu pembinaan baru jambatan ini, namun tidak ada sebarang usaha pihak berwajib melihat keperluan kami ini.
“Kami juga mahukan limpahan pembangunan dipancarkan di kawasan kami, bagaimana mungkin kiranya kita dipanggil negara maju, sekiranya pembangunan luar bandar diabaikan,” tambahnya yang mewakili penduduk kampung.
Beliau berharap agar kerajaan mendengar keluhan mereka ini.
Sementara itu, wakil UPPM Sook, Jaulis Romou yang juga mewakili Datuk Ellron baru-baru ini telah turun padang untuk melihat sendiri keadaan jambatan tersebut.
Beliau dapati jambatan tersebut tidak selamat digunakan. Namun atas kerjasama penduduk kampung mereka telah membina jambatan kecil dan ianya hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal sahaja.
“Diharap dengan usaha dan rintihan oleh wakil rakyat DUN N.45 dan penduduk kampung ini akan didengar dan diambil kira oleh pihak berkenaan.
Katanya, pembinaan baru pastinya memberikan manfaat kepada pembangunan di kampung-kampung berdekatan.-ADMIN.