Jangan cuba perkecilkan UMNO, kata Harun

KEMBALIKAN KEGEMILANGAN UMNO…Harun, Bolkiah, Masrani, Normala dan Sufian bersama lebih 500 orang pemimpin umno cawangan mengabadikan gambar kenangan dimajlis itu.

PITAS: Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Harun Durabi menggesa ahli-ahli UMNO di kawasan ini agar meneruskan agenda perjuangan mereka demi memperkasakan UMNO.

“UMNO bukanlah sebuah parti politik lemah yang boleh dirobohkan sesuka hati oleh pihak yang tertentu,” katanya.

TERUS ISTIQOMAH…Bolkiah ketika berucap dalam majlis berkenaan menyeru ahli-ahli terus komited.

Tambahnya, UMNO adalah sebuah parti keramat yang terulung dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu Bumiputera di negara ini.

Harun menggesa ahli-ahli UMNO meneruskan agenda perjuangan agar parti terus gagah perkasa dan kekal relevan.

Mengulas kes mantan Perdana Menteri,Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang dijatuhi hukuman penjara, Harun berkata biarlah kerajaan dan undang-undang negara yang mengaturnya.

“Jangan ada pihak yang memperkecil-kecilkan UMNO yang sudah sekian lama berjasa kepada negara kita yang tercinta,” tegasnya.

Walau pun kerajaan UMNO/Barisan Nasional tewas pada PRU ke14 namun perlu diingat dengan adanya kesepakatan seluruh ahli UMNO/BN, beliau yakin kerajaan UMNO/Barisan Nasional akan kembali memerintah.

Jelasnya, Umno/BN terbukti bertenaga dan diminati ramai semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis Sabah, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Melaka dan PRN Negeri Johor di mana UMNO/BN masih mampu bersaing dan menawan hati rakyat jelata.

Selain itu, kerajaan PH dan PN ditolak rakyat kerana mereka gagal menepati manifesto pilihan raya yang mereka buat.

Beliau mengajak seluruh ahli UMNO bersama komponen Barisan Nasional agar sentiasa mengukuhkan perpaduan demi kesepakatan yang jitu mampu membuahkan hasil kemenangan pada PRU ke 15 nanti.

Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengkoka berkata demikian di Majlis Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno DUN Bengkoka dan DUN Pitas di Bengkoka dekat sini kelmarin.

Sementara itu, tetamu kehormat , Datuk Bolkiah Haji Ismail,berkata, ahli-ahli UMNO perlu istiqomah dan bermuhasabah untuk terus memperjuangkan agenda parti yang masih jauh liku perjalanannya.

Beliau yang juga mantan Ketua UMNO Bahagian Kudat berkata, dalam kita berdepan cabaran dan masalah, langkah pertama kita ialah mengembalikan semangat perjuangan, menyatukan parti,menyantuni orang lama yang masih kekal dalam UMNO dan melibatkan mereka dalam aktiviti untuk mengembalikan kegemilangan parti.

SERAH KERTAS PERSIDANGAN…Harun menyampaikan kertas persidangan kepada Ketua PDM UMNO Pinggan-Pinggan, Daud Asaratin sambil disaksikan Datuk Bolkiah, Datuk Masrani Parman, Sufian Abdul Karim dan Normala Rasik.

Selain itu, ahli-ahli UMNO hendaklah memastikan lebih 19,000 pengundi baharu di bahagian Kudat untuk memilih dan menyokong UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang.

Sempena majlis itu, Harun menyampaikan borang mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO dalam DUN Bengkoka dan DUN Pitas yang diserikan dengan cabutan tiket bertuah.

Turut hadir ialah Mantan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Masrani Parman, Ketua Pergerakan Wanita Normala Rasik, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kudat, Sufian Abdul Karim dan tetamu yang lain.

scroll to top