Jangan jadi pengkhianat kepada parti sendiri, kata Ismarah

SERAH BORANG…Sulong Kondong (kiri) menyerahkan borang persidangan cawangan kepada Ismarah sambil disaksikan Muslie dan yang lain.

BANDAU: Ahli-ahli Umno di semua peringkat diingatkan agar tidak sesekali mengambil jalan singkat sehingga sanggup meninggalkan parti yang mereka tunjangi sejak sekian lama semata-mata mengejar benda yang tidak pasti, kata Ketua Umno Bahagian Kota Marudu, Datuk Ismarah Madcassar.

KETUA BAHAGIAN …Ismarah Madcassar.

Katanya, selepas PRU ke14, kerajaan Umno/BN tumbang maka ramai ahli Umno dalam bahagian meninggalkan parti.

Tambah mengelirukan apabila ada parti lain meletakkan calon bekas ahli Umno dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) kononnya jika menang sedia berkongsi kejayaan dengan ahli Umno.

“Maka bertambahlah ahli Umno meninggalkan parti asal mereka dan hanya segelintir ahli tegar Umno mengekalkan kedudukan mereka sehingga ke hari ini,” katanya.

Kemudian selepas mereka kecewa terhadap calon yang mereka sokong maka secara tiba-tiba ramai pula bekas ahli Umno mahu kembali ke pangkal jalan.

Katanya, Umno yang sekarang ini dicemuh dengan bermacam isu sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan mempertahankan dan memperjuangkan sistem demokrasi dalam parti.

“Walau pun demikian, kita akan mengkaji sedalam-dalamnya kemasukan mereka kembali ke dalam Umno kerana parti keramat ini bukan tempat keluar masuk sesuka hati,” katanya.

Ismarah berkata demikian di Majlis Penyerahan Borang Persidangan Cawangan-cawangan Umno dalam PDM Taritipan tahun 2022 dan Santai Bersama Ketua Umno Bahagian Kota Marudu di Mini Dewan Terbuka Rumah Daud Bakrin Kampung Taritipan dekat sini.

NAIB KETUA PEMUDA…Awang Sallehen@Awang Kuku Haji Awang Harun.

Terdahulu, Pengerusi penganjur program, Awang Sallehen @ Awang Kuku Haji Awang Harun yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Kota Marudu memberitahu program itu dianjurkan bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan di kalangan ahli Umno di peringkat akar umbi.

Katanya, sebagai penyokong tegar parti walau apapun tohmahan puak tertentu, namun kita tetap setia bersama Umno, jatuh bangun bersama Umno, dan perjuangan ini tetap kita pelihara sepanjang hayat.

Justeru, program seumpama ini bertujuan memberi kefahaman jelas kepada ahli Umno agar tidak mudah terpedaya oleh ajakan parti sebelah yang memusuhi Umno.

Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Muslie Haji Oting, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Marudu, Ketua Kampung Taritipan yang juga Ketua Cawangan Umno Taritipan Sulong Kondong dan masyarakat setempat.

scroll to top