Jaringan LOVE KK DBKK jayakan Program KK Clean Up Day Edisi Kedua

Noorliza bergambar kenangan bersama dengan sebahagian peserta program dari JCI dan Pertubuhan Khidmat Kemanusiaan Alpha Kappa Rho.

KOTA KINABALU: Jaringan Love KK Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjayakan Program KK Clean Up Day Edisi Kedua selepas dilancarkan April lalu.

Menurut Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip, edisi kali ini merangkumi kawasan sekitar Bandaran Berjaya Kota Kinabalu dan tidak memfokuskan hanya kepada pembersihan sampah sarap, tetapi juga meliputi aktiviti walkabout bertujuan untuk meninjau kawasan-kawasan yang perlu diperbaiki.

“Objektif utama program adalah untuk memastikan kebersihan, meninjau kesihatan persekitaran dan juga keceriaan serta mengenal pasti daya maju ekonomi sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

“Jika dilihat, kawasan Bandaran Berjaya sudah mula menampakkan penambahbaikan dan terdapat banyak potensi ekonomi di kawasan sekitar antaranya perniagaan makanan dan minuman, pemborong barangan runcit dan sebagainya.

“Oleh yang demikian, kawasan ini seharusnya ditingkatkan dan diperbaiki tahap kebersihan serta keadaan persekitarannya dari masa ke masa,” ujarnya semasa ditemui media selepas turut sama menjayakan program berkenaan, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Pengerusi Malaysia Green Building Council (MGBC), Ar. Sim Sie Hong berkata, program seumpama ini akan memberikan banyak faedah kepada penduduk setempat terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan di kawasan sekitar.

“Sekiranya kawasan persekitaran bersih, maka perniagaan akan berjalan lebih lancar dan orang awam akan mula selesa untuk berkunjung ke kawasan tersebut.

Sebahagian daripada peserta program sedang melakukan aktiviti pembersihan.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang dan MGBC sentiasa berbesar hati bersama-sama menyokong DBKK dalam menjayakannya,” tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Liveable Love KK.

Program yang bermula seawal jam 7.45 pagi itu disertai oleh seramai 715 orang termasuk penduduk dan pengusaha premis di sekitar kawasan Bandaran Berjaya, kakitangan dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan antaranya Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain beberapa agensi bukan kerajaan seperti Sabah Electricity Sdn. Bhd., Pembinaan Kekal Mewah, Junior Chamber International (JCI) dan Berjaya Group.

Turut hadir, Pengerusi Heritage Love KK, Datuk Seri Panglima Vicky Lee, Pengerusi Health Love KK, Datuk Nancy Ho dan Pengerusi Green Love KK, Ar. Rizal Banjar.-PENERANGAN.

scroll to top