RANAU: Jasa bakti dan pengorbanan guru dalam usaha memperkasa pendidikan dan mendidik para pelajar untuk membangun anak bangsa, sebagai generasi yang kelak akan menjadi peneraju serta pemimpin negara masa hadapan, sentiasa dihargai.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam usaha mendidik generasi baharu, peranan guru adalah sangat besar dan mencabar.
Katanya, situasi semasa telah menambahkan lagi cabaran kepada para pendidik untuk menanam semangat cintakan ilmu kepada para pelajar.
“Apabila pandemik COVID-19 menular dalam negara lebih setahun yang lalu, persekolahan di seluruh negara telah bertukar senario. Pembelajaran di rumah secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.
“Peranan guru telah bertambah dari mengajar di kelas sebelum pandemik, kepada pengajaran secara maya melalui aplikasi digital. Kaedah ini tentu sekali memberi tugasan tambahan kepada para guru untuk memastikan golongan pelajar dengan capaian internet mendapat pendidikan optimum.
“Dalam masa yang sama, pelajar yang tidak mendapat liputan internet tidak pernah dilupakan,” katanya semasa merasmikan pelancaran Pertandingan Pameran Digital sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Ranau 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Joachim berkata, tema Hari Guru iaitu ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ sangat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, dalam usaha untuk menjadikan semua pihak, mengamalkan kecintaan kepada ilmu pengetahuan sebagai teras kepada pendidikan.
“Saya merakamkan penghargaan terima kasih kepada seluruh kepimpinan di Pejabat Pendidikan Daerah Ranau kerana memberikan khidmat yang cemerlang dalam memastikan pendidikan dinikmati oleh semua lapisan pelajar.

TURUT BERUCAP: Majus turut memberikan ucapan.
“Saya difahamkan bahawa kalangan guru telah bekerjasama dengan masyarakat setempat, khususnya Persatuan Ibubapa dan Komuniti, untuk mengedar modul-modul pembelajaran di seluruh pelusuk kampung, demi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran, sepanjang penutupan sekolah akibat pandemik yang berlaku,” katanya.
Hari Guru pada tahun ini disambut secara sederhana tetapi tetap meriah.
Dr. Joachim berkata beliau difahamkan bahawa Sambutan Hari Guru di daerah Ranau dilaksanakan secara digital bagi mematuhi ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sungguhpun demikian, saya sangat kagum dengan semangat dan kesungguhan Pejabat Pendidikan Daerah Ranau yang masih mampu menganjur dan memgelola semua aktiviti sambutan Hari Guru Tahun 2021,” katanya.
Pameran Digital yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Guru peringkat Daerah Ranau kali ini, merupakan satu wadah kepada pihak sekolah, berkongsi dengan masyarakat setempat tentang profil dan kejayaan sekolah.
Melalui pameran digital ini, pihak sekolah dapat berkongsi dengan masyarakat tentang segala aspirasi sekolah, kejayaan yang dicapai serta aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar di sekolah.
“Melalui kaedah pameran ini, keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap segala usaha warga pendidik di sekolah, dapat dikongsi bersama,” katanya sambil menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama berganding bahu dan menggembleng tenaga agar usaha membina generasi baru untuk menyediakan mereka sebagai pemimpin generasi akan datang akan dapat direalisasikan.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau Majus Munsing berharap agar seluruh warga pendidik di Ranau dapat bekerjasama dalam membangunkan kualiti pendidikan di Ranau melalui apa juga cara melalui kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.
Katanya, sejak 1972, tanggal 16 Mei disambut saban tahun untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada semua warga pendidik bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Sumbangan ibu bapa dan komuniti melalui Penglibatan Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) juga tidak kurang pentingnya lebih-lebih lagi ketika ini di mana negara kita dilanda musibah wabak COVID-19. Sekolah-sekolah di seluruh negara ditutup tetapi pengajaran dan pembelajaran tetap berlaku melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).
“Situasi norma baharu ini menuntut kerjasama di antara sekolah dan ibu bapa bagi memastikan anak-anak murid terus memperoleh ilmu. Ini dapat ditunjukan melalui kerjasama ibu bapa dan guru menyediakan pondok belajar di hutan, di tengah ladang kelapa sawit yang dimana dikenal pasti mempunyai capaian Internet.
“Tidak lupa juga sumbangan yang dihulurkan oleh Anggota PDRM Ranau dan Sabah yang turut serta menyediakan pondok belajar serta memberi sumbangan telefon pintar, terima kasih juga diucapkan kepada Perbandanan Pinjaman Sabah (PPS) atas sumbangan mereka membina Asrama Desa di SK Tinanom yang sangat jauh di pedalaman daerah Ranau,” katanya.
Hasilnya, dengan usaha gigih, kerjasama serta komitmen semua pihak, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang media khas pada 10 Jun 2021, pencapaian SPM 2020 adalah yang terbaik dalam tempoh 5 tahun dengan Gred Purata Nasional 4.80 berbanding 4.86 (2019), 4.89 (2018), 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).
“Inilah hasil kerjasama luar biasa di antara guru dan ibu bapa sehingga mencapai keputusan yang luar biasa,” katanya.
Katanya, di peringkat daerah Ranau, terdapat peningkatan gred purata daerah dari 5.27 (2019) kepada 5.10(2020) bagi pencapaian peperiksaan SMP 2020.
“Sementara bagi pencapaian Peperiksaan STPM 2020, tahniah diucapkan kepada SMK Agama Mohamad Ali kerana berjaya meletakkan sekolah antara 10 terbaik di negeri Sabah bagi kategori jumlah calon 01 hingga 49 orang dan juga SMK Lohan 10 terbaik bagi kategori jumlah calon 55 hingga 99 orang,” katanya.
Tahun ini sekali lagi mencatat sejarah kerana buat julung kalinya pameran digital dan Gerakan Massa ‘Terima kasih Cikgu’ diadakan secara maya memandangkan keterbatasan mengadakan secara nyata serta keperluan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Program Gerakan Massa telah mula diadakan sejak 2018. Program Gerakan Massa adalah program yang dianjurkan oleh Persatuan ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.
Pada tahun ini, disebabkan kekangan pandemik, Majlis Permuafakatan PIBG telah menyediakan video khas Gerakan Massa terima kasih cikgu buat semua warga pendidik.