KOTA KINABALU : Datuk Jasni Matlani mengekalkan jawatan Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dalam mesyuarat agung persatuan itu ke-53 yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Jasni yang menjawat jawatan itu sejak tahun 2005, sekali lagi menang tanpa bertanding bagi tempoh pemilihan 2023/2024 kerana tidak dicabar dalam pemilihan tersebut.
Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan Sitti Rahmah G Ibrahim turut menang tanpa bertanding.
Bagaimanapun, bagi tiga jawatan Naib Presiden, hanya Abdul Karim Gullam dan Juri Durabi yang masih kekal, manakala Hasmin Azroy Abdullah menang menggantikan Hassan Saprin.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) yang mewakili Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden GAPENA.
Dalam perkembangan yang berkaitan Salvia Rose, yang sebelum ini menjawat jawatan setiausaha kehormat turut dilantik semula ke jawatan itu.
Manakala Haliza Matali dilantik semula sebagai timbalan setiausaha dan Amini Gawis dilantik sebagai bendahari.
Bagi jawatan Ketua Penerangan yang sebelum ini dipegang oleh Hasmin Azroy Abdullah, telah digantikan oleh Jasni Yakub.
Sepuluh orang jawatankuasa yang dipilih ialah Saire@Rosina Adun, Mathius Manang, Norhayati Tasif, Sanudin Haji Hassan, Norlie Masrin, Hasmat Salamat, James Taling, Maznah Sulaiman, Duliam Suari, dan Ismail Duah.
Manakala tujuh orang jawatankuasa yang dilantik ialah Yuliamin Sahirulsah, Aminah Sambion, Nunhati Malihzaman, Siti Aisah Mad Saad, Amat Ali Omar, Eiddros Ibrahim dan Noriss Illiani.

SIJIL…Salvia Rose menerima sijil jawatankuasa kuasa BAHASA tahun sebelumnya daripada Mohamad Saleeh Rahamad sambil disaksikan Jasni di majlis itu.
Jasni ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat BAHASA yang dilaksanakan dengan baik, teratur dan lancar.
“Proses pemilihan sangat teratur, positif dan BAHASA kini turut dianggotai oleh beberapa orang muka baharu yang bukan sahaja berbakat dan mempunyai iltizam kepimpinan yang tinggi, tetapi berpotensi menjadi pemimpin pelapis yang berkesan.” kata Jasni.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Hamzah Hamdani, Naib Presiden GAPENA, Zainal Jais, Setiausaha Agung GAPENA dan Azimah Abu Bakar, Setiausaha kerja GAPENA.