KOTA KINABALU: Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani, mengucapkan terima kepada semua perwakilan yang mengundi beliau, walaupun gagal merebut jawatan Timbalan Presiden GAPENA, dalam pemilihan yang sengit di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, apa yang penting ialah beliau mencuba menawarkan diri bertanding, dengan harapan dapat mengubah lanskap sastera negara, pada ketika bidang ini berhadapan dengan pelbagai kendala dan krisis keyakinan merundum yang melampau dalam konteks pemartabatannya.
“Tetapi ini tidak dilihat sebagai agenda besar perwakilan dalam menentukan masa depan GAPENA dan hala tuju organisasi berkenaan dalam konteks pembangunan bahasa dan sastera negara, sehingga mendorong mereka membuat keputusan yang tidak disedari bakal memberi kesan untuk jangka panjang.”
“Namun saya yakin dan optimis terus dapat menyumbangkan tenaga dan fikrah demi kelangsungan survival bahasa dan sastera negara.” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebaik sahaja beliau pulang ke Sabah, petang semalam.
Jasni, yang juga Ahli Lembaga pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, tewas dalam pemilihan itu kepada Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk jawatan Timbalan Presiden GAPENA semasa mesyuarat Agung GAPENA Ke-51 di Dewan Pendeta Tan Sri Ismail Hussein, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, walaupun tewas beliau optimis bahawa dunia Sastera tetap memerlukan pemimpin yang berjiwa besar, berstrategi dan mampu mengadaptasi agenda pengurusan yang lebih kondusif untuk terus maju dan berdaya saing.
“Saya tidak berjaya mencipta sejarah untuk Sabah dalam kepimpinan tertinggi GAPENA kali ini, kerana kempen sentimen tertentu pihak lawan di saat akhir yang mengubah pola pengundi, tetapi bukan bermakna tidak ada cahaya di hujung Lorong.” katanya.
Sebaliknya, kata beliau, perjuangan akan diteruskan, walaupun sesekali tersekat di perjalanan, kerana ada hikmah dan perlindungan Tuhan dalam setiap kejadian yang di atur-Nya dan tidak kita ketahui.
“Namun apa pun, saya akur dan selepas ini saya mempunyai banyak masa menghasilkan karya kreatif dan non kreatif. Seterusnya menumpukan agenda pembangunan sastera terutama melalui tanggungjawab saya sebagai ahli Lembaga Pengelola DBP dan sebagai teraju kepimpinan bahasa dan Sastera di Sabah, mahu pun di peringkat ASEAN, terutama melalui kapasiti saya sebagai Presiden Komunitas Puisi Esei ASEAN” katanya.