Jauteh galas Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah

Majlis serah terima tugas antara Datuk Idris Abdullah dan Datuk Jauteh Dikun disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

KOTA KINABALU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik selaku Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, bagi menggantikan Datuk Idris Abdullah yang akan bersara wajib pada Jumaat.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, kelmarin disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah turut dijalankan antara Datin Suraya Zainal dan Datin Norhayatie Farhana Abdullah.

Untuk rekod, Idris memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah selama setahun enam bulan bermula 2 September 2021.

Beliau dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman.

Acryl Sani dalam ucapannya berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan penghargaan tidak terhingga kepada Idris yang berkhidmat selama lebih 35 tahun.

Katanya, beliau memberi perkhidmatan yang terbaik dan sangat membanggakan dalam kerjaya seorang pegawai polis.

“Tentu sekali pihak PDRM mengucapkan selamat bersara kepada beliau (Idris),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Jauteh, Acryl Sani berkata, PDRM percaya dengan pengalaman yang diperolehi selama ini, Jauteh mampu menjalankan tugas berkenaan dengan baik.

“Saya percaya dan yakin, IPK Sabah berada di tangan pemimpin yang betul untuk dikendalikan membabitkan aspek keselamatan, keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Dalam pada itu, pimpinan tertinggi PDRM akan mengumumkan pelantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Acryl Sani berkata, pihaknya sudah mempunyai beberapa calon untuk jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Ia akan dibincangkan dalam mesyuarat hujung minggu ini dan keputusan akan diumumkan tidak berapa lama lagi,” katanya.

scroll to top