Jawatankuasa MATPLL beriadah di samping laksanakan aktiviti keagamaan – Ag. Ismail

45 PERATUS SIAP ... Maahad Tahfiz At-Taqwa Perumahan Laya Laya Tuaran sedang dalam pembinaan.

TUARAN: Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid At-Taqwa Perumahan Laya-Laya (MATPLL) Tuaran tidak melupakan aktiviti riadah di samping melaksanakan kegiataan keagamaan dalam usaha mewujudkan jawatankuasa yang cerdas dan sihat.

“Selain menjalankan aktiviti keagamaan  kita (AJK MATPLL) turut melaksanakan kegiatan riadah seperti bersukan dan telah membentuk sebuah pasukan futsal MATPLL yang diketuai oleh Darasik Muyong selaku Pengerusi Masjid, Imam Abd. Aziz, Timbalan Pengerusi, Kapt (B) Mohd Fadzil Redzuan Leong, Setiausaha, Sahidun Rashid sebagai Ketua Jurulatih dan saya sendiri yang bertindak selaku penaung pasukan ini.

NAIB JOHAN KUMPULAN … Pasukan Futsal MATPLL merakamkan gambar kenangan sebelum sepak mula.

“Dan baru-baru ini pasukan MATPLL telah menyertai Kejohanan Futsal tertutup anjuran JHEAINS di Arena Futsall Tuaran, dan kami menduduki tempat kedua (naib johan) dalam kumpulan,” kata Awang Ismail Haji Abu Bakar.

Menurut Ag.Ismail,  walaupun Pasukan MATPLL hanya menduduki naib johan dalam kumpulan, tetapi ianya membawa pengertian yang sangat bermakna kepada kariah masjid ini di mana ianya dapat menjalin silaturahim antara kariah-kariah masjid yang  terlibat.

Katanya, MATPLL dalam rangka mencetus penglibatan AJK dan kariah untuk sama sama berganding bahu dalam aktiviti riadah masjid.

” Aktiviti yang sedang giat dilaksanakan ialah latihan memanah peringkat AJK dan kariah masjid dan seterusnya memberi peluang kepada mereka mengikuti sebarang kejohanan yang dianjurkan oleh pihak luar,” tambahnya.

Dalam pada itu menurut Awang Ismail, Maahad Tahfiz At-Taqwa  telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang diwakili oleh Setiausaha Politiknya Datuk Kasim Haji Razali pada 6 November 2021.

TINJAU … Hj.Suhaimi (belakang baju biru), Darasik (kanan), Mohd. Fadzil Redzuan Leong, Kapt (B) (dua dari kanan) dan Ag.Ismail (kiri) bergambar di tapak Maahad Tahfiz At-Taqwa.

Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz ini adalah untuk mengambil pelajar 12 tahun ke atas dan lebih memberi keutamaan kepada anak anak yatim dan fakir miskin di daerah Tuaran.

“Hari ini, pembinaan Maahad Tahfiz ini sudah mencapai 45 peratus siap. Insya Allah, pada pertengahan tahun hadapan (2023) pembinaannya dijangka akan siap sepenuhnya hasil sumbangan dari pihak swasta, kerajaan negeri termasuk sumbangan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sendiri, mahupun orang ramai,”jelasnya.

Katanya, penubuhan Maahad Tahfiz ini adalah sebagai usaha agar umat Islam mendapat manfaat ilmu dan tarbiah dirinya.

BARISAN AJK … AJK Maahad Tahfiz At-Taqwa Perumahan Laya Laya Tuaran.

“Dalam masa yang sama di sini juga pelajar-pelajar al-Quran dapat meneruskan pembelajaran agar menjadi insan yang mulia.

“Selain itu misi penubuhan Maahad Tahfiz ini juga mampu membangunkan modal insan yang cemerlang, sepadu dan seimbang yang berkeupayaan menjadi pemimpin dalam bidang agama, profesional dan ekonomi.

“Sementara visinya menjadikan Maahad Tahfiz ini institusi pendidikan berteraskan al-Quran yang terkemuka di Malaysia dalam melahirkan modal insan cemerlang,” jelas Ag.Ismail.

scroll to top