Jemaah Bersyukur Surau Al-Mukminin Dibenar Anjur Solat Jumaat

KENANGAN ... Jawatankuasa Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru bergambar kenangan bersama Imam Mohd Sofri Awaluddin Al-Hafiz (berdiri, dua kiri).

Oleh HASSIM HAJI OTHMAN

KOTA KINABALU: Buat kali pertamanya Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru hari ini menganjurkan solat fardhu Jumaat dan menerima kunjungan kira-kira 30 orang jemaah sekitar perumahan di sini.

ZUL NORFAIZAL … Melihatkan surat kebenaran daripada pihak Jheains.

Pengerusi Surau Al-Mukminin Zul Norfaizal Jimbul melahirkan rasa syukur bila mana bencana pandemik COVID-19 yang melanda pada masa kini turut memberikan hikmah yang baik kepada surau ini.

Katanya, sebelum berlakunya bencana pandemik COVID-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat Islam di sini hanya melaksanakan solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru.

“Namun, hari ini bencana COVID-19 ini telah memberikan kesempatan kepada kita untuk menganjurkan solat Jumaat di Surau Al-Mukminin ini dengan mengikuti dan mematuhi prosedur operasi standerd (SOP) yang ditetapkan oleh pihak KKM dan Jheains,” jelasnya.

Menurut Zul, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah melalui pelbagai peringkat, Jawatankuasa Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru ini telah dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

NORDIN AWANG BAHARI

“Dan alhamdulillah, hari ini kita telah mendapat lampu hijau daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) melaksanakan solat Jumaat di surau kita,” jelasnya.

Beliau merakamkan jutaan terimakasih kepada pihak Jheains, terutamanya kepada Puan Hiryanti Haji Tabin, Pegawai Tadbir Agama Jheains Bandaraya Kota Kinabalu yang telah membenarkan Jawatankuasa Surau Al-Mukminin menganjurkan solat Jumaat sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara – SOP Fasa 2 COVID-19 Negeri Sabah.

Seorang jemaah Nordin Awang Bahari turut melahirkan rasa syukur bila mana berkesempatan menunaikan solat Jumaat pada minggu ini.

“Syukur alhamdulillah, walaupun kita telah berdepan dengan pandemik ini untuk satu jangkamasa yang panjang, namun ada hikmah kerana warga pangsapuri dapat bersama-sama mendirikan solat Jumaat bersesuaian dengan SOP yang disarankan oleh kerajaan dan pihak Jheains.

BILAL .. Bilal Samad Lawi (kanan) Ketua Syukbah Rekreasi Dan Riadah Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru.

“Semoga Allah sentiasa kurniakan limpah berkahnya kepada seluruh penduduk di kawasan ini dan dapat menyatukan ikatan silaturahim terutamanya untuk orang-orang Islam,” jelasnya.

AMINKAN DOA … Para jemaah mengaminkan doa selesai solat Jumaat di Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru.

Dalam pada itu, Imam Mohd Sofri Awaluddin Al-Hafiz iaitu Imam Rawatib Kampung Sembulan telah diamanahkan oleh pihak Jheains untuk menjadi Khatib seterusnya mengimamkan solat Jumaat di Surau Al Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru pada hari ini.

Sementara tugas Bilal telah dilaksanakan oleh Samad Lawi, Ketua Syukbah Rekreasi Dan Riadah Surau Al-Mukminin Pangsapuri Tanjung Aru.

scroll to top