Jenazah Almarhum Tun Sakaran Selamat Disemadikan

SELESAI...Jenazah selesai disemadikan di Makam Pahlawan.

KOTA KINABALU: Jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan, Almarhum Tun Sakaran Dandai selamat disemadikan pada jam 11.55 pagi tadi (Isnin).

ANAK … Nasir ketika bercakap kepada media.

Jenazah yang dibawa keluar dari sebuah pusat perubatan swasta di ibu negeri bermula jam 11.06 pagi, tiba di Makam Pahlawan Masjid Negeri pada jam 11.13 pagi dan terus dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut anakandanya, Datuk Nasir Sakaran, riwayat almarhum merupakan seorang pemimpin yang mesra dengan semua lapisan masyarakat serta seorang ayah yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan akademik termasuk ilmu agama anak-anak.

“Walaupun sangat sibuk dengan kerjayanya sebagai ahli politik malah semasa dilantik sebagai TYT Sabah, almarhum ayahanda tetap mengambil perhatian mengenai rakyat.

“Kemesraan Almarhum Tun tanpa mengenal usia bermula dari golongan kanak-kanak sampailah golongan dewasa, almarhum tetap memberikan kasih sayangnya.

“Dalam konteks seorang anak, saya melihat almarhum sebagai seorang ketua keluarga yang sentiasa memberi perhatian serta bimbingan kepada anak-anak bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga ilmu agama,” jelasnya kepada media.

Nasir yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang turut merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan yang dihulurkan serta doa daripada orang ramai.

DIUSUNG … Jenazah Almarhum Tun Sakaran diusung masuk ke Makam Pahlawan oleh pasukan petugas KKM.

Almarhum Tun Sakaran meninggalkan 12 anakanda iaitu tujuh orang hasil perkahwinan pertama dan lima orang daripada perkahwinan kedua serta 60 orang cucu.

Almarhum Tun dilantik ke jawatan tertinggi itu bagi tempoh dua penggal bermula tahun 1995 hingga 2002, selepas setahun menyandang jawatan Ketua Menteri Sabah kelapan mulai 26 Disember 1994, menggantikan (mantan) Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada Mac 1994.

Memberi penghormatan terakhir di makam terbabit ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

PENGHORMATAN TERAKHIR … Hajiji (tengah) bersama Tun Juhar (dua dari kanan) dan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (dua dari kiri) serta Toh Puan Norlidah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed.

Almarhum Tun Sakaran dilaporkan menghembus nafas terakhir pada jam 5.30 pagi tadi, selepas dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 sejak Rabu lalu.-Penerangan.

scroll to top