Jendela Diperluas Ke Kg Rungus Nahaba

PENERANGAN ... Rashid (kanan) menerangkan ciri-ciri keselamatan yang dipasang pada menara kepada Arthur (dua kiri) dan Joniston (kiri).

TUARAN: Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) diperluas ke Kg Rungus Nahaba bagi mempermudahkan urusan atas talian.

ARTHUR.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup, pelaksanaan menara telekomunikasi di Kg Rungus Nahaba akan mula beroperasi mulai 01 Jun 2021.

“Menara ini adalah antara 51 menara baharu melalui projek Jendela yang terawal dilaksanakan di Sabah.

“Ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 250 penduduk termasuk guru-guru dan murid-murid di SK Rungus Nahaba dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari rumah melalui jaringan perkhidmatan telekomunikasi 4G yang lebih baik.

“Dengan adanya menara telekomunikasi ini, taraf hidup dapat dilonjak dan memudahkan penduduk setempat melaksanakan pelbagai urusan harian yang memerlukan kemudahan capaian internet,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Jendela di Kg Rungus Nahaba, pada Jumaat.

Tambah beliau, sebanyak 781 points of presence (PoP) akan disediakan berhampiran kawasan sekolah bagi ketersambungan perkhidmatan jalur lebar.

“Penyediaan PoP ini akan membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial yang berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

“Ini akan dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti dalam talian di kawasan luar bandar.

“PoP juga akan disediakan di kawasan perindustrian di Sabah iaitu kawasan perindustrian Kastam Baru, kawasan perindustrian Keningau, kawasan perindustrian POIC Sandakan, KKIP Kota Kinabalu, Rancha-Rancha Industrial Park, Kiamsam Industrial Park, Sedco IP Inanam dan POIC Lahad Datu Fasa 1 dan 2,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan juga telah melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, di bawah agenda MyDIGITAL untuk memastikan pendigitalan dapat direalisasikan di seluruh negara.

“Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di era baharu ini.

“Inisiatif MyDigital adalah penanda aras yang kritikal untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dari 2021 hingga 2025, seiring dengan usaha menuju Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,”ujar beliau.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Penolong Pegawai Daerah, Justin Ginduk dan Jurutera U Mobile, Abdul Rashid Tapa.-Penerangan.

scroll to top