KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, sudah memasang perangkap buaya di Sungai Seguntor, di sini, semalam, susulan insiden membabitkan seorang lelaki yang menjadi mangsa serangan reptilia berkenaan, minggu lalu.
Pegawai JHLS Sandakan, Hussein Muin berkata, usaha itu bukan saja bertujuan untuk memerangkap buaya yang dipercayai menyerang mangsa.
Sebaliknya katanya, ia juga bagi mengurangkan bilangan reptilia berkenaan di kawasan yang berhampiran dengan penempatan penduduk.
“Tiga perangkap besi ini dipasang di lokasi strategik di sepanjang sungai berhampiran kawasan mangsa ditemui.
“Sasaran JHLS juga adalah untuk mengurangkan jumlah haiwan reptilia di kawasan ini demi keselamatan penduduk berhampiran,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sehubungan itu, Hussein berkata, orang ramai di kawasan berhampiran dinasihati supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran buaya di sungai berkenaan.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dibaham seekor buaya sebelum ditemui meninggal dunia, kelmarin.
Menurut saksi kejadian, mangsa yang baru pulang dari menunaikan solat di masjid berhampiran dikatakan diserang buaya ketika cuba menyeberangi sungai menaiki rakit.